Eksekutif jualan Shadani Book Sale Shadani Shaik Syaheer Shaik Daud menunjukkan antara buku yang laris terjual di gerai jualan buku Shadani Book Sale ketika Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor (SCBF) 2024 yang berlangsung di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 27 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Buku dwi bahasa laris di Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor

SHAH ALAM, 28 JULAI: Bahan bacaan kanak-kanak yang mempunyai dwi bahasa (bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris) dilengkapi tulisan jawi menjadi tarikan di Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2024.

Eksekutif Jualan Shadani Book Sale Shaik Syaheer Shaik Daud berkata bahan bacaan tersebut yang berkaitan abjad, nombor dan haiwan itu laris kerana mudah dibaca dan difahami.

“Sebagai pembekal buku, kita bawa bahan bacaan yang dapat menarik perhatian dan buku dilengkapi dua bahasa serta mempunyai tulisan jawi menjadi tumpuan ibu bapa.

Pengunjung memilih buku ketika Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor (SCBF) 2024 yang berlangsung di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 27 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Bukan itu sahaja, buku berkaitan kisah-kisah nabi, panduan solat, mencari perkataan antara laris terjual.

“Malah, harga ditawarkan di sini sangat istimewa kerana sangat murah diskaun sehingga 50 peratus dan untuk hari terakhir hari ini kita akan adakan ‘happy hour’ khas untuk pengunjung,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) Sheikh Faisal Sheikh Mansor pula menyifatkan penganjuran pesta itu adalah ruang terbaik kepada penerbit-penerbit mempromosi buku-buku.

“Ini adalah peluang kepada penerbit untuk ketengahkan buku-buku mereka yang bagus dan dapat beri manfaat kepada kanak-kanak. Bukan itu sahaja, inisiatif penganjur mewujudkan zon komik sangat bertepatan dengan trend terkini.

“Namun, untuk masa depan penerbit dan penulis buku perlu lebih banyak hasilkan bahan bacaan yang bersesuaian dengan peredaran zaman serta dapat mendalami jiwa kanak-kanak,” katanya.

Berlangsung sehingga hari ini di Kompleks PKNS di sini, pesta buku anjuran PPAS itu menawarkan pelbagai jenis buku dengan diskaun menarik selain dimeriahkan aktiviti untuk seisi keluarga seperti mewarna, melukis dan pelbagai persembahan.

Sempena pesta buku itu, peminat kartun dan siri animasi juga berpeluang menyaksikan proses kreatif penghasilan watak kartun ikonik Malaysia.

Orang ramai memilih buku kanak-kanak di reruai Bravo Global Venture ketika ketika Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor (SCBF) 2024 yang berlangsung di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 27 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pengarang :