Sebahagian aksi beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah Ketika berdepan pasangan keenam dunia Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun pada aksi Kumpulan A di Porte De La Chapelle Arena, Paris pada 28 Julai 2024. Foto Facebook Olympic Council of Malaysia
AGENDASUKANKINI

Pearly-Thinaah tundukkan beregu keenam dunia, hidupkan peluang ke suku akhir

PARIS, 28 JULAI: Beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah berjaya menghidupkan peluang mereka ke suku akhir Sukan Olimpik 2024, selepas bangkit mengejutkan pasangan keenam dunia Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun pada aksi Kumpulan A, hari ini.

Gandingan di ranking ke-13 dunia itu, mempamerkan aksi bertenaga dan berjuang hingga akhir untuk mencatakan kemenangan 18-21, 21-15, 21-16, ke atas juara dunia 2018 dan 2019 Matsumoto-Nagahara di Porte De La Chapelle Arena.

Walaupun mereka bermula baik untuk mendahului 11-7 pada set pertama, namun telah memberikan ruang kepada pasangan keenam dunia itu untuk bangkit memenangi set berkenaan 21-18.

Diserikan dengan sokongan padu sekitar 8,000 penonton, Pearly-Thinaah bangkit dengan lebih agresif untuk mendahului set kedua dari awal untuk meraih kemenangan 21-15, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pearly-Thinaah terus mengegarkan gelanggang dengan serangan padu yang memaksa wakil Jepun melakukan akur dengan kekalahan, sekali gus melebarkan rekod kemenangan sebanyak empat kali dalam enam pertemuan di antara mereka.

Semalam, mereka membuka kempen Paris 2024 dengan kekalahan 17-21, 20-22 selepas aksi sengit selama 55 minit menentang gandingan nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China, pada aksi pertama.

Pearly-Thinaah perlu meneruskan momentumkan kemenangan menentang Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia pada perlawanan terakhir kumpulan pada Selasa, bagi memastikan slot ke suku akhir.

Bercakap kepada Bernama selepas kemenangan itu, beregu berkenaan meluahkan harapan untuk memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti pada aksi terakhir kumpulan nanti.

“Satu permainan yang baik, rasa gembira sangat, tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki kerana kita masih ada satu lagi perlawanan, jadi kami mahu fokuskan kepadanya juga, dan berikan 100 peratus,” kata Thinaah.

Pearly berkata keghairahan untuk mendapatkan mata membuat mereka terburu-buru dan hampir membawa padah, namun mereka berjaya memperbaikinya selepas dinasihatkan Pengarah Kejurulatihan Rexy Mainaky dan Ketua Jurulatih Beregu Wanita Kebangsaan Hoon Thien How.

“Faktor paling penting membantu kami menang ialah kami bantu antara satu sama lain dan jurulatih di belakang kami berikan sokongan, dan mengingatkan kami untuk sabar dan tenang. Mereka nasihatkan kami untuk bersabar kerana kami terlalu mahu matikan pukulan, yang menjadikannya lebih teruk.

“Apabila kami tenang dan bersabar, kami boleh dapat mata dan kami sentiasa mengingatkan antara satu sama lain. Untuk perlawanan berikutnya, kami hanya mahu kekal fokus untuk setiap mata, setiap pukulan dan nikmati perlawanan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, perjalanan Apriyani-Siti Fadia bakal berakhir di peringkat kumpulan, selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut.

Selepas tewas kepada Matsumoto-Nagahara, mereka terpaksa akur dengan kekuatan Qing Chen-Yi Fan untuk tewas 12-21, 22-24, menyaksikan beregu China itu sudah mengesahkan slot ke suku akhir.

– BERNAMA

 


Pengarang :