Ketua Perangkawan Malaysia Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin bercakap kepada media selepas tinjauan bancian di Aquaculture Resources Centre (ARC) benih ikan keli dan talapia di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh pada 28 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Lebih 17,000 penduduk terlibat sektor pertanian di Selangor

SHAH ALAM, 28 JULAI: Hasil Bancian Pertanian 2024 setakat ini mengesan seramai 17,642 individu terlibat dalam sektor pertanian di Selangor, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah itu diperoleh dalam tempoh 21 hari pelaksanaan bancian yang bermula sejak 7 Julai lepas.

“Sebanyak 17,874 tempat kediaman pertanian (TKP) telah dilawati manakala 13,573 TKP telah selesai dibanci di Selangor dalam tempoh sama,” katanya yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat ternakan ikan keli Pertubuhan ARC Berkat Agrofood Sdn. Bhd di Kampung Kubu Gajah di sini hari ini.

Ketua Perangkawan Malaysia Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin melihat ikan yang telah di sejuk beku untuk jualan ketika tinjauan bancian di Aquaculture Resources Centre (ARC) benih ikan keli dan talapia di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh pada 28 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Jelas Mohd Uzir, Bancian Pertanian 2024 melibatkan empat subsektor utama iaitu iaitu Tanaman, Ternakan, Perikanan & Akuakultur, dan Perhutanan & Pembalakan yang dijangka akan mengambil masa empat bulan hingga Oktober ini.

Tambah beliau, hasil dapatan kajian berkenaan penting untuk melaksanakan penambahbaikan industri pertanian di negara ini selain menggalak lebih banyak penduduk terlibat dalam aktiviti pertanian.

Mengenai lawatan ke Pertubuhan ARC Berkat Agrofood, beliau berkata sebanyak 200 kolam ternakan ikan keli diusahakan yang dilengkapi pusat pengumpulan dan jualan, serta menjalankan aktiviti pembenihan ikan.

“Pemilik ARC Berkat Mohd Hafiz Nordin berkongsi pada DOSM menerima Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) untuk mereka mengusahakan aktiviti pemakanan.

“Maklumat dan bancian begini akan serahkan pada kementerian dan agensi berkaitan untuk lihat keberkesanan pemberian bantuan yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada pemain industri,” jelasnya.

Banci Pertanian 2024 bermula Julai 7 Julai hingga Oktober depan akan dijalankan seramai 5,000 pegawai Jabatan Perangkaan melibatkan sebanyak 1.3 juta kediaman di seluruh negara.


Pengarang :