Suasana Pesta Buku Kanak-kanak Selangor (SCBF) 2024 di Kompleks PKNS Shah Alam pada 28 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Makin dikenali, lebih 80,000 meriahkan pesta buku kanak-kanak

SHAH ALAM, 28 JULAI: Lebih 80,000 pengunjung memeriahkan Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2024 sepanjang lima hari penganjuran sejak 24 Julai lalu di Kompleks PKNS, di sini.

Ketua Bahagian Unit Korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Zafrullah Aris berkata sambutan tahun ini amat menggalakkan apabila kehadiran pengunjung lebih ramai berbanding tahun lalu.

Ketua Bahagian Unit Korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Zafrullah Aris

“Ini merupakan penganjuran kali kedua dan Alhamdulillah sambutan cukup memberangsangkan dan kita yakin pesta buku kanak-kanak kini sudah mula mendapat tempat di hati masyarakat.

“Ada ibu bapa yang datang awal sebelum pesta bermula jam 10 lagi bersama anak-anak mereka. Ramai juga menyertai cabutan bertuah yang mana mereka hanya perlu membeli apa sahaja barangan minimum RM30,” katanya ketika ditemui.

Mengulas kelainan kali ini, Zafrullah berkata tumpuan program untuk mengangkat karya penulis komik selain membuka ruangan ilustrasi kepada kanak-kanak meluahkan bakat mereka.

“Setiap hari sepanjang pesta berlangsung kita juga adakan klinik ilustrasi bersama penulis komik antara yang kita jemput adalah Imuda untuk kanak-kanak mengenali lebih dekat selain dapat mendalami seni lukisan,” katanya.

Kanak-kanak mengikuti aktiviti STEM Bersama Dr Hazeeq dan rakan-rakan ketika Pesta Buku Kanak-kanak Selangor (SCBF) 2024 di Kompleks PKNS Shah Alam pada 28 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Pesta buku anjuran PPAS menawarkan pelbagai jenis buku dengan potongan harga menarik selain dimeriahkan aktiviti seisi keluarga seperti mewarna, melukis dan pelbagai persembahan.

EXCO belia ketika ditemui pada majlis perasmian baru-baru ini memaklumkan usaha semua pihak penting dalam memupuk budaya membaca buku golongan muda dan kanak-kanak sekali gus melahirkan generasi berpengetahuan.

Najwan Halimi menjelaskan membaca buku akan menghasilkan insan seimbang yang mampu berfikiran kritis dan berpengetahuan serta memberi kesan dalam segala tindakan mereka.

 


Pengarang :