Wakil rakyat R Rajiv bergambar bersama peserta kursus bantuan kecemasan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing di Dewan Serbaguna Gasing Indah pada 28 Julai 2024. Foto R Rajiv
ADNSELANGOR

Lebih 50 warga Bukit Gasing diberi kursus bantuan kecemasan

SHAH ALAM, 28 JULAI: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menganjur kursus bantuan kecemasan di Dewan Serbaguna Gasing Indah, Petaling Jaya hari ini.

Wakil rakyatnya R Rajiv memaklumkan program kali keempat yang disertai lebih 50 peserta bertujuan mendidik masyarakat memberi bantuan pada waktu kritikal bagi menyelamatkan nyawa.

“Pengisian kursus ialah bantuan pernafasan (CPR) dan penggunaan peranti defibrilator luaran automatik (AED). Kita anjurkan kerana melihat keperluan dalam memberi bantuan kecemasan sekiranya ahli keluarga jatuh dan tidak boleh bernafas.

“Apabila kita dapat beri bantuan kecemasan awal nyawa mereka mungkin boleh diselamatkan sementara menunggu ambulans tiba dan mendapat rawatan pakar,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Rajiv turut mencadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan sokongan Kerajaan Negeri melaksanakan dasar menggalakkan ketersediaan AED yang boleh diakses di semua ruang awam di daerah itu.

“Sekiranya boleh diakses ia dapat digunakan untuk merawat mangsa yang mengalami pemberhentian jantung secara tiba-tiba dan digunakan mangsa yang tidak sedarkan diri.

“Kami turut mengesyorkan penubuhan program untuk penduduk menerima latihan yang sesuai dan mewujudkan pelan untuk tindak balas kecemasan henti jantung mengejut yang boleh dikongsi dengan penduduk Petaling Jaya,” ujarnya.


Pengarang :