AGENDAJENAYAH

Reman suspek kes culik kanak-kanak perempuan disambung enam hari

JOHOR BAHRU, 29 JULAI: Reman seorang lelaki disyaki terbabit dalam kes culik kanak-kanak perempuan Albertine Leo Jia Hui, 6, disambung enam hari lagi.

Perintah sambung reman terhadap suspek lelaki berusia 31 tahun itu dibenarkan Majistret Noorfazlin Hamdan di sini hari ini.

Tempoh reman disambung bermula esok hingga Ahad ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, suspek tiba di pekarangan kompleks mahkamah pada 8.50 pagi dengan baju lokap ungu dan tangan bergari, sambil dikawal rapi anggota polis.

Sebelum itu, Ketua Polis Johor CP M Kumar dilaporkan memohon sambungan reman terhadap suspek lelaki tempatan itu bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek yang ditangkap bersama mangsa di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan sebelum ini dilaporkan meminta bantuan orang ramai untuk mengesan kanak-kanak berkenaan yang disedari hilang oleh bapanya pada 8.30 malam, 20 Julai, di sebuah pusat beli-belah.

Kanak-kanak itu ditemukan selamat di sebuah hotel murah di Batang Kali pada 4.45 pagi, 23 Julai lalu dan polis turut menahan seorang lelaki yang dijumpai bersama mangsa.

– BERNAMA


Pengarang :