Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama penerima selepas menyampaikan dokumen pengenalan diri ketika majlis penyerahan dokumen di bawah Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri MySel 2024 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 29 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MySel bantu lebih 2,000 individu miliki dokumen sah, terima manfaat negeri

SHAH ALAM, 29 JULAI: Lebih 2,000 individu menerima dokumen pengenalan diri menerusi Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri MySel (MySel) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak 2008.

Dato’ Menteri Besar berkata dengan adanya dokumen sah seperti surat beranak serta kad pengenalan, individu berpeluang mendapat hak warga negara selain menerima pelbagai manfaat ditawarkan kerajaan.

“Sejak diperkenal, lebih 6,000 permohonan diterima dan hampir separuh darinya, kira-kira 48 peratus merupakan pemohon Bumiputera. Selebihnya dari pelbagai bangsa seperti Cina, India, Sabah, Sarawak.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis penyerahan dokumen di bawah Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri MySel 2024 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 29 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Pemohonan yang lulus ini melibatkan semua peringkat umur dari kanak-kanak hinggalah orang dewasa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas menyerahkan dokumen pengenalan sah kepada 30 individu hari ini.

Amirudin berkata inisiatif itu merupakan langkah pendekatan pentadbiran dalam usaha memudahkan rakyat mendapatkan dokumen sah sekali gus mampu menjalani kehidupan sejahtera.

“Kita wujudkan skim ini bukan mahu ambil tugas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi nak bantu mudahkan proses dokumentasi kerana akhirnya JPN yang luluskan.

“Semua pemohon ini terlepas banyak peluang dan manfaat ditawar kerajaan antaranya bantuan perniagaan. Jadi dengan dokumen sah, hak mereka dapat dikembalikan,” katanya.

MySel diwujudkan bagi membantu golongan miskin yang tidak mempunyai pengetahuan dan saluran betul membuat permohonan mendapatkan dokumen pengenalan diri, kewarganegaraan, sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Pegawainya berperanan menyelesaikan masalah anak tidak memiliki surat beranak disebabkan sindiket perkahwinan di sempadan termasuk kegagalan ibu bapa mendaftar kelahiran anak mereka atas perkara tertentu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan dokumen pengenalan diri ketika majlis penyerahan dokumen di bawah Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri MySel 2024 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 29 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :