Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan Bola Sepak Piala DYTM RMS dan Piala Dato’ Mokhtar Dahari 2024, Dato’ Emran Kadir (tengah) bergambar bersama penaja pada majlis penyerahan tajaan di Kelab Warga Emas, Seksyen 24, Shah Alam pada 29 JULAI 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
AGENDASUKANKINI

96 sekolah sertai kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari, RMS

Oleh RAFIQAH RAUF

SHAH ALAM, 29 JULAI: Sejumlah 96 sekolah menengah dan kebangsaan seluruh negeri menyertai Kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari dan Piala Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor (RMS) yang bermula Ogos ini.

Pengerusi jawatankuasa induk kejohanan berkata penyertaan melibatkan 32 pasukan bagi Piala Dato’ Mokhtar Dahari bawah 18 tahun, bawah 15 tahun serta bawah 12 tahun untuk Piala RMS.

Menurut Dato’ Emran Kadir, kejohanan yang diilhamkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor itu diteruskan
untuk pencarian bakat serta pelapis bola sepak di peringkat akar umbi.

“Hasrat Tuanku supaya kejohanan ini lahirkan seramai mungkin bakat di Selangor, bukan sahaja untuk Selangor tetapi seluruh negara.

“Ada pemain yang lahir dari kejohanan ini bermain di negeri lain setiap kali final sama ada peringkat 12, 15, 18 tahun.

“Ada pihak yang datang melihat pemain untuk dipancing ke kelab masing-masing,” katanya ketika sidang media kejohanan itu serta penyerahan tajaan di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan Bola Sepak Piala DYTM RMS dan Piala Dato’ Mokhtar Dahari 2024, Dato’ Emran Kadir (dua dari kanan) bergambar bersama penaja pada majlis penyerahan tajaan kejohanan di Kelab Warga Emas, Seksyen 24, Shah Alam pada 29 JULAI 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Emran, kejohanan yang dinantikan setiap tahun itu menerima tajaan berjumlah RM400,000.

“Antara penyumbang utama adalah Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) sebanyak RM225,000 manakala Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menaja
sebanyak RM100,000.

“Selain itu, terdapat juga sumbangan dari syarikat swasta serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan nilai antara RM5,000 hingga RM20,000.

Emran menambah setiap pasukan diberikan tajaan bagi menampung perbelanjaan pengangkutan, jersi serta keperluan lain.

“Setiap sekolah kita bagi RM1,000 untuk kejohanan bawah 15 dan 18, RM500 untuk kejohanan bawah 12 tahun,” katanya.

Bagi Piala RMS yang memasuki edisi ke-35 tahun ini, Emran berkata kejohanan diperluaskan ke seluruh daerah berikutan memberi impak yang sangat besar.

“Kalau dulu hanya libat daerah pendidikan iaitu Petaling Perdana dan Petaling Utama, kali ini seluruh Selangor,” katanya.


Pengarang :