Pengurus Besar Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd Muhammad Syaril Showkat Ali bersama peserta Program Program U-PLATS Halal modul empat di Dewan Auditorium, Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 29 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lepasi saringan,10 usahawan PLATS dibimbing dapat sijil halal

SHAH ALAM, 29 JULAI: Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd akan membimbing 10 usahawan Platform Selangor (PLATS) mendapatkan pensijilan halal.

Pengurus Besarnya Muhammad Syaril Showkat Ali berkata mereka adalah antara 100 yang berjaya melepasi saringan menerusi program U-PLATS Halal modul satu hingga tiga sejak awal tahun ini.

“Ini merupakan projek rintis kita, daripada 100 usahawan PLATS, hari ini kita akan memilih 10 peserta menepati kriteria ditetapkan untuk dibimbing hingga berjaya mendapat pensijilan halal dalam tempoh tiga bulan.

“Tujuan program ini untuk memberi penerangan dan kesedaran mengenai kepentingan pensijilan halal kepada usahawan PLATS menerusi modul satu hingga enam yang dijangka berakhir Oktober ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program U-PLATS Halal modul empat di Auditorium, Pustaka Raja Tun Uda di sini hari ini.

Pengurus Besar Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd Muhammad Syaril Showkat Ali ketika ditemui media pada Program U-PLATS Halal modul empat di Dewan Auditorium, Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 29 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Muhammad Syaril menambah baki usahawan yang tidak berjaya pula tidak akan dipinggirkan sebaliknya HIS Toyyiba bersedia membantu.

“Mereka masih boleh hadir ke HIS Toyyiba kerana kita turut menawarkan khidmat nasihat, latihan dan bimbingan bagi mendapatkan pensijilan halal.

“Kita turut menyediakan perkhidmatan dan fasilitasi kepada usahawan untuk memasarkan produk ke pasaran lebih luas di pasar raya tempatan serta peluang menembusi pasaran antarabangsa.

“Antara inisiatif dan program tersebut ialah promosi halal dalam dan luar negara serta fasilitasi eksport ke negara seperti Dubai, Oman, Filipina, China dan juga Amerika Syarikat,” katanya.

PLATS yang diperkenal susulan Perintah Kawalan Pergerakan empat tahun lalu membantu perusahaan kecil mikro sederhana mengadaptasi pendigitalan dalam perniagaan.

HIS Toyyiba Sdn Bhd merupakan inisiatif menjadikan Selangor sebagai negeri bertaraf global dalam industri halal selain berfungsi sebagai agensi peneraju kepada tiga inisiatif Pelan Tindakan Halal Selangor 2020-2030.


Pengarang :