Pempegaruh Mohammad Syukri Abdullah sedang membuat kandungan sosial medianya selepas di temu bual di masjid negeri Shah Alam pada 28 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Johan syarahan bahasa Arab ‘meletup’ di TikTok, popular di Mesir

Berkat kefasihan berbahasa Arab, anak Melayu kelahiran Petaling Jaya mendapat sambutan luar biasa setelah namanya ‘meletup’ dalam media sosial TikTok dan Instagram.

Dikenali Syukri Arab, pelajar terbaik Kuliah Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mesir memfokus kandungan selama empat bulan sejak April, sekali gus menjadikan jumlah pengikutnya meningkat luar biasa.

Di TikTok, jumlahnya meningkat lebih seganda menjadi 871,800 orang berbanding 400,000 orang sebelumnya. Peminatnya di Instagram pula naik lebih 585,00 individu, bertambah daripada kira-kira 100,000 kepada 685,000 setakat 23 Julai.

Pempegaruh, Mohammad Syukri Abdullah bercakap kepada media ketika di temubual di Masjid Negeri Shah Alam pada 28 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mohammad Syukri Abdullah berjaya menarik ramai peminat antarabangsa khususnya dari negara rantau Arab di TikTok dan Instagram kerana klip video disediakan dalam bahasa itu.

Mesir merekodkan peratusan pengikut tertinggi masing-masing 21.6 peratus dan 18 peratus. Arab Saudi berada di tangga kedua tertinggi di TikTok dengan 18.3 peratus, Algeria (8.8 peratus), Maghribi (5.1 peratus), Iraq (4.3 peratus), Libya (3.9 peratus) dan Sudan (3.3 peratus).

Peminat beliau di Instagram pula, Maghribi mencatat 11.1 peratus dan Algeria sebanyak 8.7 peratus. Peminat di Malaysia dan Indonesia juga tidak ketinggalan menonton kerana video disertakan sarikata bahasa Melayu.

Jumlah pengikutnya di TikTok dan Instagram di Malaysia masing-masing seramai 24.4 peratus dan 8.7 peratus. Diikuti peminat Indonesia sebanyak 6.5 peratus dan 11 peratus.

Syukri menumpukan kandungan video antaranya nasihat agama berkaitan amanah, kelebihan beribadah di masjid dan hati yang mati berdalilkan al-Quran, Hadis, kisah sahabat Nabi Muhammad SAW dan ulama silam.

Rata-rata klip video disediakan dalam tempoh satu atau dua minit, antara kandungannya tentang perbezaan maksud perkataan ar-Rahman dan ar-Rahim dalam lafaz Bismillah yang mencatat sembilan juta tontonan, jumlah paling tinggi setakat ini di TikTok beliau.

Hasil kerja dan populariti yang diraih, beliau dijemput oleh Sekretariat Festival Turath Islami Selangor pada Mei, untuk membantu mempromosi acara pengajian berkitab secara talaqqi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Program keagamaan selama seminggu itu sekali lagi menjemput bekas mufti besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab untuk menghurai kitab Hadis 40 Imam Nawawi. Sebelum ini beliau membahas kitab Ihya Ulumuddin, karya Imam al-Ghazali.

Mohammad Syukri bijak menyulam pelbagai elemen emosi antaranya sedih, serius, gembira atau marah dalam dialog bahasa Arab menerusi klip videonya.

Faktor itulah menarik ribuan orang malah ada sehingga mencecah jutaan orang menonton video di saluran TikTok dan Instagram beliau.

Video bertajuk ‘Lagu Syair Arab Lidah Berbelit’ yang dimuat naik di TikTok sejak dua tahun lalu, merekodkan 9.7 juta tontonan.

Jelajah kampung

Ditemu bual Selangorkini 28 Jun lalu, Mohammad Syukri mendedahkan punca beliau mahir berbahasa Arab kerana suka menjelajah perkampungan Arab yang juga tempat asal rakan-rakan sekuliahnya ketika di Universiti Al-Azhar antara 2018 hingga 2022.

Didorong minat mendalam terhadap budaya Arab, pempengaruh itu sekurang-kurangnya dua atau tiga kali sebulan ke kawasan perkampungan antaranya Iskandariyah yang terletak di barat laut Kaherah, Ismailiyah (timur laut Kaherah), Daqahliyah dan Banha (utara Kaherah), yang mengambil masa dua hingga lima jam perjalanan menaiki keretapi.

Ketika tempoh awalnya menjejak kaki di Kaherah, pempengaruh media sosial itu hanya tinggal sebulan di asrama Selangor sebelum berpindah ke rumah sewa.

Walau dipujuk pelajar senegara supaya menangguh rancangannya, Mohammad Syukri memilih menetap bersama rakan sekuliah daripada Mesir, Toriq Hisham di sebuah rumah sewa selama empat tahun. Justeru, penguasaan komunikasi berbahasa Arab baku semakin lancar.

“Tapi kita tidak boleh bersabar, kita tak boleh duduk dengan orang Malaysia dah. Saya terus duduk dengan (pelajar) Arab. Saya terus duduk rumah sewa dengan orang Arab Mesir. Saya sewa bilik dengan orang Arab Mesir,” kata siswa berusia 25 tahun itu.

Sepanjang tempoh itu, pemegang biasiswa Menteri Besar Selangor 2018 itu tekun menelaah dan berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan sahabat sebilik sehinggalah dianugerahkan antara 10 pelajar antarabangsa terbaik bagi ijazah sarjana muda kursus itu dengan keputusan sangat baik (jayyid jiddan atau 81.91 peratus.).

Memandangkan hanya segelintir daripada 1,500 pelajar Malaysia berminat dengan jurusan itu dan majoritinya pelajar Arab, maka Syukri tiada pilihan melainkan terpaksa berbahasa Arab dengan pelajar antarabangsa lain.

Pempengaruh itu sedar kebanyakan penduduk kampung yang dilawati sejak awal bercakap bahasa pasar (‘ammi) Mesir dengan tetamunya. Namun mengakui mereka amat menghormati dan memuliakan tetamu termasuk membantu orang luar bercakap Arab dengan betul.

“Ramai akan sambut, beri motivasi atau bantu kamu bercakap Arab. Mereka hormat orang luar negara, daripada Malaysia. Tambah-tambah lagi kalau kita pergi ke kampung Arab,” kata penerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tengku Idris Shah 2018.

Johan pertandingan syarahan bahasa Arab peringkat kebangsaan pada 2016 mengakui peminatnya daripada negara Arab banyak memberi maklum balas positif terhadap usahanya.

“Saya lebih suka tengok komen pengikut daripada (negara) Arab. Sebab bila kita buat content, Arab tersentuh. Bila tersentuh, maknanya (penyampaian) bahasa mudah difahami.

“Mereka sangat menyokong. Kebanyakan (mereka) doa kepada kita seperti ‘semoga dipermudahkan urusan kamu’, ‘Allah mengangkat segala keresahan kamu’. Dia puji. Macam-macam lagi,” kata pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia 2017.

 


Pengarang :