EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Badanbas Coach Sdn Bhd Ibrahim Aiman Mohd Nadzmi bergambar di hadapan van transit atas permintaan (DRT) Mobi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor tambah baik sistem pengangkutan awam, luas capaian pengguna

SHAH ALAM, 30 JULAI: Selangor terus melipat ganda usaha menyokong peralihan penggunaan kenderaan peribadi kepada pengangkutan awam, menerusi penambahbaikan sistem dan infrastruktur sedia ada.

EXCO mobiliti berkata inisiatif Mobiliti Selangor yang diperkenal seperti bas Smart Selangor dan van transit atas permintaan (DRT) meningkatkan capaian pengguna kepada pengangkutan awam.

“Laluan pejalan kaki berbumbung menerusi inisiatif itu juga turut menyumbang peningkatan akses penggunaan pengangkutan awam kepada pengguna,” kata Ng Sze Han di Facebook.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han bercakap ketika sidang media selepas pelancaran Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan kawasan Bandar Utama, Petaling Jaya hingga Johan Setia, Klang adalah jajaran penting.

Jelasnya, ia bakal meningkatkan capaian penggunaan pengangkutan awam di Selangor khususnya Lembah Klang Raya, termasuk persetujuan Putrajaya meneruskan semula cadangan lima stesen LRT3.

“Persekutuan juga bersetuju meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik,” katanya.

Sebelum ini, Sze Han berkata van DRT mencatatkan hampir 54,000 pengguna setakat Jun, bagi menggantikan kemudahan Bas Smart Selangor ke laluan sempit dan penduduk ramai.

Sasaran tumpuan adalah kawasan berdekatan pengangkutan awam utama seperti rel dan stesen bas bagi melengkapi perbatuan pertama dan terakhir (first mile and last mile).


Pengarang :