Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon mempengerusikan mesyuarat bulanan di ibu pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 29 Julai 2024. Foto Facebook MBPJ
PBTSELANGOR

MBPJ, pejabat kesihatan giat hapus tempat biak nyamuk, pupuk kesedaran masyarakat

SHAH ALAM, 30 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Petaling menjalankan aktiviti gotong-royong bersama penduduk untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk.

Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata program dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengawal peningkatan kes denggi selain memupuk kesedaran dalam kalangan orang awam tentang bahaya penyakit tersebut.

“Aktiviti ini dijalankan di beberapa lokasi seperti di Kampung Sungai Kayu Ara, Apartment Indah PJU 10, Apartment Pelangi Damansara PJU 6, SS 5C, Flat Impian Baiduri dan Flat Desaria PJS 5.

“Dengan gotong- royong ini diharap dapat membantu membersihkan kawasan yang boleh membawa kepada pembiakan nyamuk Aedes, pembawa demam denggi.

“Usaha ini untuk memberi inspirasi kepada seluruh masyarakat Petaling Jaya khasnya di kawasan ‘hotspot’ denggi untuk mengambil langkah proaktif dalam mengekalkan persekitaran yang lebih bersih,” katanya pada mesyuarat bulanan MBPJ semalam.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 133 kes baharu demam denggi dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 4,220 dilaporkan pada Minggu Epidemologi ke-28 (ME28) iaitu bagi tempoh 7 hingga 13 Julai lepas.

“Keadaan ini menunjukkan penurunan kes denggi 1 peratus berbanding minggu epidemiologi sebelumnya (27/2024). Terdapat satu kes kematian di Apartment Permai PJU 3 pada hujung bulan Mei.

“Manakala jumlah kes demam denggi bagi dua lagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Daerah Petaling bagi tahun ini adalah Majlis Bandaraya Subang Jaya sebanyak 5,543 kes dan Majlis Bandaraya Shah Alam (3,892 kes),” jelasnya.


Pengarang :