Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon mempengerusikan mesyuarat bulanan di ibu pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 29 Julai 2024. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya
PBTSELANGOR

MBPJ naik taraf beberapa laluan pejalan kaki demi keselesaan pengguna MRT

SHAH ALAM, 30 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menaik taraf laluan pejalan kaki di stesen Transit Aliran Massa (MRT) Phileo Damansara sejak 1 Julai lalu bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata kerja naik taraf turut membabitkan laluan di Jalan 16/11 dan Jalan 16/15, Seksyen 16 yang dijangka siap pada 18 November ini.

“Projek ini dilaksana setelah mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak bagi memastikan pengguna serta penduduk sekitar selesa dan selamat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam,” katanya.

Bercakap pada mesyuarat bulanan MBPJ semalam, Mohamad Zahri berkata projek berkenaan dijalankan mengikut Rancangan Tempatan Petaling Jaya 1 dan 2 (2017) untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai kawasan ‘first and last mile improvement’.

“Rancangan ini telah mengenal pasti sebanyak 25 stesen yang berunsurkan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

“Daripada jumlah ini, sejumlah 20 stesen adalah stesen sedia ada manakala bagi lima stesen lagi adalah laluan ke stesen MRT baharu yang dalam fasa pembinaan,” katanya.


Pengarang :