AGENDANASIONAL

ECX24 kembali, tawar hadiah RM300,000 untuk inovator e-dagang terbaik

SHAH ALAM, 30 JULAI: Program Selangor E-Commerce Xccelerator 2024 (ECX24) kohort kedua kembali, khusus untuk mendigitalkan 50 jenama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Menyediakan hadiah terkumpul sehingga RM300,000, program kendalian Perbadanan Ekonomi Digital dan Teknologi Maklumat Selangor (Sidec) turut menawarkan lawatan perniagaan ke luar negara.

Selain peluang pelaburan, acara intensif selama empat bulan itu turut menawar hadiah wang tunai, trofi dan sijil, bagi merubah landskap e-dagang dan melengkapkan peserta dengan kemahiran terkini.

“Kami amat optimis dalam ECX24 kohort kedua kali ini dan tidak sabar melihat inovasi dan pencapaian luar biasa daripada program ini” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.

“Matlamat kami untuk mengangkat industri PKS Malaysia supaya lebih berdaya saing serta mampu mencapai tahap yang lebih tinggi.”

ECX24 menyasarkan perniagaan makanan dan minuman, perabot rumah dan peralatan, fesyen dan gaya hidup, kesihatan, kecantikan dan kesejahteraan serta impak sosial dengan modul komprehensif.

Menurut Sidec, modul itu merangkumi bengkel dinamik termasuk penggodaman pertumbuhan, integrasi kecerdasan buatan (AI), pemasaran digital, pembangunan jenama dan klinik pembentangan idea.

Peserta boleh mendaftar melalui laman web Sidec di pautan www.sidec.com.my/ecx sebelum 9 Ogos.

Kohort pertama ECX24 disertai syarikat seperti The Pastel Shop, Shapee, Big Bath, Nori, dan Sono
Ultrasound, dengan peningkatan prestasi perniagaan hingga RM77 juta.


Pengarang :