Beregu badminton wanita negara Pearly Tan-M Thinaah layak ke suku akhir Sukan Olimpik 2024, selepas menewaskan pasangan kesembilan dunia Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia 21-18, 21-9 di Porte de La Chapelle Arena, pada 30 Julai 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Pearly-Thinaah cipta kejutan ke suku akhir tewaskan beregu kesembilan dunia

PARIS, 30 JULAI: Beregu badminton wanita negara Pearly Tan – M Thinaah layak ke suku akhir Sukan Olimpik 2024, selepas melakukan satu lagi kejutan pada perlawanan terakhir Kumpulan A hari ini.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu, yang dalam misi mesti menang mereka pada perlawanan peringkat kumpulan itu, mengejutkan pasangan kesembilan dunia Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia 21-18, 21-9 di Porte de La Chapelle Arena, di sini.

Pada perlawanan mendebarkan itu, Pearly-Thinaah yang merupakan pasangan ke-13 dunia, bermain dengan perlawanan sengit sebelum menang set pertama dan berjaya menguasai set kedua untuk menang dalam masa 45 minit.

Pasangan negara yang sebelum ini tewas kepada juara Dunia dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada Sabtu, berjaya melakukan kejutan dengan mengalahkan juara dunia dua kali, pasangan Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun semalam, bagi menghidupkan semula harapan mereka.

Terdahulu Qing Chen-Yi Fan, mengungguli kumpulan A selepas mengalahkan Matsumoto-Nagahara 21-16, 21-15.

Sebelum ini pasangan wanita negara hanya sekali layak ke suku akhir Sukan Olimpik iaitu di Rio 2016, apabila pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas kepada juara acara itu Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.

Sukan Olimpik 2024 turut menyaksikan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menempah slot ke suku akhir, manakala pemain profesional perseorangan Lee Zii Jia (lelaki) dan Goh Jin Wei (wanita) hanya akan mengetahui nasib mereka selepas perlawanan kedua peringkat kumpulan, esok.

– BERNAMA

 


Pengarang :