Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara Ng Sze Han (tengah) meninjau kerja naik taraf Jalan Puchong Jaya pada 30 Julai 2024. Foto ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR
ADNSELANGOR

Naik taraf Jalan Puchong Jaya siap bulan depan, jimat masa 10 minit

Oleh YASMIN RAMLAN

SHAH ALAM, 30 JULAI: Jalan Puchong Jaya yang kini dinaik taraf membabitkan kos lebih RM747,000 dijangka siap Ogos ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara Ng Sze Han berkata, ketika ini kerja yang dilakukan sejak Februari lalu sudah 48 peratus siap.

“Proses naik taraf termasuk melebarkan jalan ini melibatkan jarak 700 meter.

“Ia bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Bandar Puchong terutama pada waktu pagi.

“Jalan lain yang turut sesak pada waktu puncak ialah Jalan Pipit, kawasan Bukit Tandang, laluan ke Jalan Bandar Puchong Jaya serta laluan ke LDP (Lebuhraya Damansara-Puchong),” katanya ditemui ketika melawat lokasi berkenaan hari ini.

Sze Han yang juga EXCO Pelaburan berkata apabila kerja naik taraf itu siap kelak, kesesakan di laluan berkenaan dapat dikurangkan berikutan pelebaran jalan dari satu ke dua lorong seterusnya menjimatkan masa kira-kira 10 minit pada waktu puncak untuk ke LDP.

Sementara itu Datuk Bandar Subang Jaya Datuk Amirul Azizan Abd Rahim yang turut hadir dalam lawatan itu berharap projek terbabit dapat disiapkan mengikut jadual.

“Saya berharap projek ini dapat disiapkan seperti dirancang. Jadual asal ia patut siap bulan ini tetapi terpaksa dilanjutkan sebulan lagi,” katanya.

 


Pengarang :