AGENDANASIONAL

Individu sewakan kenderaan kepada warga asing diambil tindakan

PUTRAJAYA, 30 JULAI: Pemilik kenderaan warga tempatan masih berdegil menyewakan kenderaan kepada warga asing yang tiada lesen memandu sah walaupun sudah berulang kali dikenakan kompaun.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli berkata pemilik kenderaan warga tempatan akan dipanggil dan diberi pengakuan agar perkara itu tidak berulang.

Beliau berkata Perbadanan Putrajaya (PPj) dan JPJ akan memanggil semua pemilik kenderaan dan diberi pengakuan supaya tidak mengulangi kesalahan menyewakan kenderaan kepada warga asing.

“PPj akan mengatur (pengakuan) bersama JPJ dan kita akan sediakan pegawai untuk memberi khidmat nasihat sebab perkara ini dah berlaku banyak kali.

“Ada yang dah dikompaun tetapi masih lagi memberi kebenaran kepada warga asing untuk menggunakan kenderaan mereka,” katanya kepada media selepas Operasi Bersepadu Pemandu Warga Asing (PeWA) antara JPJ dan PPj, di sini hari ini.

Aedy berkata daripada 90 kenderaan yang diperiksa, 73 kenderaan disita iaitu 72 motosikal dan sebuah kereta.

“Jumlah keseluruhan notis pelbagai kesalahan 228 telah dikeluarkan dengan 117 notis kepada warga asing dan 111 kepada pemilik kenderaan,” katanya.

Beliau berkata antara kesalahan dilakukan ialah tidak memiliki lesen memandu sah, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan pematuhan piawaian teknikal serta keselamatan kenderaan digunakan oleh pemandu kenderaan yang menjadi punca kepada kemalangan dan kematian pemandu atau pengguna jalan raya.

Aedy berkata kebanyakan warga asing diperiksa memiliki permit kerja yang sah dan bekerja di sekitar Putrajaya, namun mereka tidak memiliki lesen memandu diiktiraf kerajaan.

“Saya ingin menasihatkan pemilik kenderaan untuk tidak menyewakan atau membenarkan pemandu warga asing tidak memiliki lesen memandu yang sah menggunakan kenderaan mereka,” katanya.

Beliau berkata tindakan itu mengakibatkan risiko tinggi bukan sahaja kepada warga asing malah kepada pemilik kerana mereka juga akan dikenakan tindakan.


Pengarang :