Ketua Hamas Ismail Haniyeh memberi isyarat ketika menyampaikan ucapan berhubung keputusan Presiden AS Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, di Bandar Gaza pada 7 Disember 2017. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Jemaah menteri, pembangkang kecam pembunuhan Ismail Haniyeh

SHAH ALAM, 31 JULAI: Pemimpin kanan Hamas Ismail Haniyeh dibunuh dalam serangan dari udara di ibu kota Iran hari ini, di tengah-tengah perang Gaza yang berlarutan lebih 10 bulan.

Menurut laporan Al Jazeera yang memetik kenyataan kumpulan yang mentadbir Gaza, Ismail dan seorang pengawal peribadinya terbunuh selepas kediaman mereka di Tehran digempur Israel, sekitar 2 pagi.

Beberapa kenyataan agensi antarabangsa melaporkan Ismail berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu republik Islam itu, Masoud Pezeshkian pada Selasa.

Berikut antara reaksi pemimpin kerajaan dan pembangkang berhubung pembunuhan kejam itu:

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran dan bersolidariti bersama dengan rakyat Palestin.

“Jemaah menteri turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mantan perdana menteri Palestin itu dan menggesa siasatan segera dilakukan agar pihak yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan tersebut dibawa ke muka pengadilan.

“Kerajaan Malaysia akan terus lantang menyuarakan sokongan serta bekerjasama dengan negara-negara lain dalam usaha mendesak pembebasan rakyat Palestin daripada sebarang bentuk kezaliman.”

-Fahmi Fadzil, jurucakap kerajaan

“Dewan Rakyat mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman dan keganasan ini. Saya menyatakan solidariti dan kebersamaan saya dengan rakyat Palestin dan mendoakan agar penindasan terhadap rakyat Palestin dihentikan serta-merta. Al-Fatihah.”

-Tan Sri Johari Abdul, yang dipertua Dewan Rakyat

“Saya kini berada di Kaherah dan arahan telah dibuat. Kita dapatkan maklumat dulu. Jika (jenazah) sudah dimandikan, saya minta semua masjid Jakim dan Jawi untuk mengadakan solat ghaib.”

-Datuk Mohd Na’im Mokhtar, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

“PAS mengecam serangan Israel di ibu kota Iran, Tehran yang mengorbankan nyawa Ketua Politik Pasukan Pejuang Palestin Hamas, Ismail Haniyeh dan seorang pengawal peribadinya.

“PAS mengucapkan takziah kepada keluarga Ismail Haniyeh atas tragedi ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka dan dikurniakan ganjaran Syahid di sisi Allah.”

-Tan Sri Abdul Hadi Awang, presiden PAS

 

 

 


Pengarang :