AGENDAJENAYAH

Melabur duit individu lain tanpa lesen sah, suami isteri dipenjara empat tahun

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Seorang bekas ahli perniagaan dan isterinya dijatuhkan hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menerima wang deposit lebih RM300,000 tanpa lesen sah untuk tujuan pelaburan, sembilan tahun lepas.

Hakim Mohd Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Ho Kok Keong, 62, dan isterinya Koh Orchid, 51, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Setelah mahkamah meneliti keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama,” kata Mohd Kafli yang turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Sean Dudley yang mewakili pasangan suami isteri itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan dengan menaikkan jumlah jaminan setiap tertuduh daripada RM15,000 kepada RM30,000.

Ho dan Koh didakwa menerima wang deposit daripada Lee Kuan Peng, 51, berjumlah RM364,000 secara berperingkat bagi tujuan pelaburan tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 di sebuah restoran di Sentul pada 16 Dis 2015 dan 16 April 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-keduanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi.

Seramai lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan iaitu kedua-dua tertuduh, memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada 10 Jan tahun lepas.

— BERNAMA

 

 

 


Pengarang :