EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi melawat reruai pameran ketika majlis perasmian program Selangor 1000 Digital Siri 3 yang diadakan di Dewan Semarak Cyberjaya, Sepang pada 31 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

Hampir 2,000 usahawan terima manfaat program transformasi digital

SEPANG, 31 JULAI: Hampir 2,000 usahawan tempatan menerima manfaat program Selangor 1000 Digital yang diperkenal Kerajaan Negeri sejak Mei lalu bagi memperluaskan perniagaan menerusi transformasi digital.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata program yang kini memasuki siri ketiga itu terus mendapat sambutan khususnya usahawan muda yang mahu membawa perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berucap ketika majlis perasmian program Selangor 1000 Digital Siri 3 yang diadakan di Dewan Semarak Cyberjaya, Sepang pada 31 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Kehadiran usahawan di Sepang merekodkan paling tinggi iaitu 831 usahawan berbanding siri sebelum ini di Petaling lebih 600 dan Sabak Bernam kira-kira 200 individu.

“Ini sebahagian inisiatif Kerajaan Negeri memperkasa dan memberdaya usahawan muda dengan memberi pendedahan tentang kaedah serta perubahan ekosistem semasa.

“Menerusi pendedahan digitalisasi usahawan dapat gunakan teknologi dalam memaparkan produk masing-masing selain mereka boleh dapatkan khidmat nasihat daripada pemain industri yang kita bawa di program ini.” katanya hari ini.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi (tengah) bersama peserta ketika majlis perasmian program Selangor 1000 Digital Siri 3 yang diadakan di Dewan Semarak Cyberjaya, Sepang pada 31 Julai 2024. Turut sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Selangor Ahmad Azri Zainal Nor. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Ditemui pada majlis perasmian program tersebut bagi daerah Sepang, Mohd Najwan turut memaklumkan dua lagi siri bakal diadakan di Hulu Langat dan Gombak pada September depan.

“Program merupakan platform terbaik untuk usahawan ini mendapat kerjasama baik daripada pelbagai pihak termasuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan pihak berkuasa tempatan.

“Selain meneruskan siri program ini, kita juga bercadang untuk adakan latihan dengan memfokus usahawan terlibat dalam perniagaan platform atas talian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu menyifatkan usaha diambil Kerajaan Selangor bertepatan dan proaktif dalam membantu usahawan supaya lebih cakna dengan pendigitalan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu berucap ketika majlis perasmian program Selangor 1000 Digital Siri 3 yang diadakan di Dewan Semarak Cyberjaya, Sepang pada 31 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Menerusi program ini, usahawan dapat memantapkan pengetahuan dalam pendigitalan sekali gus tidak ketinggalan dengan teknologi.

“Saya menyokong sepenuhnya usaha Kerajaan Negeri dan sedia berkolaborasi dengan semua pihak dalam membantu usahawan mengembangkan perniagaan,” katanya.

Mei lalu, Kerajaan Negeri memperkenalkan program Selangor 1000 Digital bagi memperluaskan transformasi digital dalam kalangan usahawan tempatan.

Dirasmikan Mohd Najwan, program tersebut menjelajah lima daerah bermula di Petaling diikuti Sabak Bernam, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.

Selain MBI, program itu turut berkolaborasi dengan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (Upen) dan Platform Selangor (PLATS).


Pengarang :