Pengunjung membawa beg kitar semula ketika mengunjungi program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Seri Serdang di Taman Puchong Permai pada 15 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Didik sejak kecil, kempen bebas plastik dianjur peringkat sekolah rendah

SHAH ALAM, 31 JULAI: Kempen kesedaran bebas beg plastik akan dilaksanakan dalam kalangan murid sekolah rendah di negeri ini pada tahun depan.

EXCO kepenggunaan berkata program dengan kerjasama jawatankuasa tetap alam sekitar itu bagi mendidik kanak-kanak kepentingan kepada alam sekitar jika penggunaan beg plastik dikurangkan.

EXCO Kepenggunaan Datuk Rizam Ismail di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 30 JULAI 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Kempen ini sudah dijalankan sejak beberapa tahun lalu termasuk libatkan kedai runcit dan pasar raya. Kita nak didik orang ramai kesan kepada penggunaan beg ini dan perlu tambah baik supaya matlamat sampai.

“Sekarang kita sedang rangka perkara ini. Kalau naikkan harga caj (penggunaan beg plastik), ia dilihat kurang berjaya. Jadi kita sasarkan murid sekolah untuk terapkan dan beri kesedaran berhubung perkara ini,” kata Datuk Rizam Ismail.

Ditemui di pejabatnya, wakil rakyat Sungai Air Tawar berkata kesedaran melalui kempen dan program dilihat berkesan dan ia telah dibuktikan berkesan di negara maju seperti Jepun.

“Di sana, kerajaan memang terapkan kempen kesedaran sejak dari kecil. Rakyat dididik dari sekolah dan perkara itu menjadi pembelajaran berterusan,” katanya.

Pada 10 Julai, EXCO alam sekitar memaklumkan sebanyak RM38 juta dikumpul hasil daripada caj 20 sen untuk setiap penggunaan beg plastik dalam tempoh tiga tahun, dari 2020 hingga tahun lepas.

Jamaliah Jamaluddin menjelaskan wang kutipan itu disalurkan kembali sebagai peruntukan untuk penganjuran program kelestarian oleh bagi mendidik rakyat mencintai dan memelihara alam sekitar.


Pengarang :