Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya Ismail Haniyeh pada 13 Mei 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Malaysia kutuk pembunuhan Ismail Haniyeh, mahu pihak bertanggungjawab didakwa

PUTRAJAYA, 31 JULAI: Malaysia mengutuk pembunuhan Ismail Haniyeh yang merupakan pemimpin dan Ketua Biro Politik Hamas di Tehran, Iran hari ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar, Malaysia menyeru supaya satu siasatan segera dan menyeluruh dijalankan ke atas pembunuhan itu, dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Malaysia juga menggesa semua pihak supaya bertenang sementara fakta mengenai pembunuhan itu sedang diperoleh,” kata kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra.

Haniyeh yang juga bekas Perdana Menteri Palestin dibunuh beberapa jam selepas beliau menghadiri upacara mengangkat sumpah Presiden Iran Masoud Pezeshkian semalam.

Wisma Putra berkata Malaysia mengiktiraf peranan dan sumbangan Allahyarham Haniyeh dalam usaha membebaskan Palestin dan rakyatnya daripada pendudukan haram Israel.

“Malaysia dengan tegas mengecam semua tindakan keganasan, termasuk pembunuhan bersasar, dan menggesa semua negara yang cintakan keamanan untuk turut sama mengecam tindakan berkenaan,” katanya.

Wisma Putra berkata kejadian itu menekankan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan dan mengukuhkan keperluan bagi semua pihak untuk terlibat dalam dialog konstruktif dan mencari penyelesaian damai.

Kementerian Luar mengucapkan takziah dan simpati kepada ahli keluarga, serta kepada kepimpinan dan rakyat Palestin dan berkata Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin, dan menegaskan komitmennya untuk menyokong perjuangan mereka bagi keadilan dan penentuan nasib sendiri.

Wisma Putra dalam kenyataan itu juga menyebut bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berada di Tehran mewakili Malaysia ke Majlis Angkat Sumpah Presiden baharu Iran itu.

“Semua anggota delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :