Empangan Semenyih. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor miliki lebih 580 juta meter padu simpanan air, mampu bertahan sembilan bulan

SHAH ALAM, 31 JULAI: Selangor memiliki lebih 580 juta meter padu simpanan air mentah untuk dibekal kepada rakyat negeri ini bagi menghadapi musim kemarau yang melanda negara.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, bekalan di tujuh empangan termasuk Kolam Takungan Sungai Labu (ORS) dan 100 kolam hiliran membabitkan tiga lembangan utama mampu bertahan sekurang-kurangnya sembilan bulan.

Hasrolnizam Shaari menjelaskan setakat ini paras air di semua empangan terbabit juga melebihi 90 peratus, berdasarkan Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Air Bersepadu (iWRIMS).

“Dengan kapasiti ini, ia bersamaan lebih 500 juta meter padu air disimpan yang mampu bertahan lebih enam bulan. Ia boleh digunakan ketika aliran sungai tidak mencukupi dan tiada hujan.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Hasrolnizam Shaari. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita tidak bergantung takungan dalam empangan tetapi turut mengenal pasti kolam hiliran di tiga lembangan membabitkan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang yang mampu menghasilkan sekitar 80 juta meter padu.

“Jika Selangor berdepan situasi seperti mana dilalui negeri yang kekurangan air mentah, simpanan kita ada, boleh bertahan sembilan bulan,” katanya.

Bercakap dalam temu bual khas bersama Media Selangor hari ini, beliau berkata rakyat negeri ini tidak perlu gusar dengan senario semasa berikutan bekalan sedia ada mampu memenuhi keperluan semua.

Bagaimanapun, Hasrolnizam menasihatkan semua pihak supaya mempraktik amalan sihat penggunaan air terawat dengan menggunakan sumber itu sebanyak 260 liter sehari.

“Jika penduduk ambil pendekatan sama iaitu guna air 260 liter sehari, mungkin dengan keadaan semasa ini kapasiti bekalan yang kita ada mampu bertahan.

“Sekiranya berlaku kemarau berpanjangan lebih sembilan bulan, kemungkinan air yang dibekalkan tidak cukup untuk penggunaan tempoh lebih panjang,” katanya lagi.

Susulan fenomena cuaca panas berpanjangan ketika ini, paras air di beberapa empangan di Kedah dan Perak mengalami penyusutuan antaranya Empangan Bukit Merah serta Empangan Muda.


Pengarang :