Aksi pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia ketika menentang pemain ke-62 dunia dari Sepanyol Pablo Abian di Sukan Olimpik Paris pada 31 Julai 2024. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM
AGENDASUKANKINI

Lee Zii Jia layak ke pusingan kalah mati, tewaskan pemain Sepanyol

PARIS, 31 JULAI: Pemain profesional badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia seperti diramalkan, mudah melepasi peringkat kumpulan Olimpik Paris 2024 untuk layak ke pusingan kalah mati, di Porte de La Chapelle Arena, hari ini.

Juara All England 2021 itu menewaskan pemain ke-62 dunia dari Sepanyol Pablo Abian, 21-10, 21-13 dalam masa 34-minit, dalam perlawanan Kumpulan G untuk layak ke pusingan 16 terakhir.

Sepanjang permainan Zii Jia tidak berhadapan banyak masalah daripada pemain berusia 39 tahun dari Sepanyol itu, yang menyertai Sukan Olimpik buat kali kelima sejak edisi Beijing 2008.

Zii Jia pemain ketujuh dunia, memulakan kempen Olimpiknya dengan kemenangan ke atas pemain ke-70 dunia Viren Nettasinghe dari Sri Lanka Ahad lalu.

Bagaimanapun cabaran Zii Jia bermula pada pusingan 16, apabila dijangka berhadapan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia, jika tidak berlaku kejutan pada perlawanan Kumpulan H, selepas ini.

Pada penampilan pertama Zii Jia di Olimpik Tokyo 2020, beliau tewas kepada pemain China Chen Long pada pusingan 16.

Zii Jia berharap memperbaiki keputusannya di Olimpik Tokyo, apabila beliau berhadapan dengan juara Kumpulan H, yang akan ditentukan selepas perlawanan antara Ginting dan pemain tuan rumah Tomo Junior Popov.

“Dia (Abian) berikan saya tekanan pada awalnya, namun saya dapat menguruskannya dengan baik. Kini saya layak ke pusingan 16 terakhir Olimpik lagi, dan diharapkan keputusan yang lebih baik untuk saya kali ini.

“Perlawanan esok tentunya lebih sukar, seperti yang anda tahu pertemuan saya dengan Ginting tidak baik untuk saya (sekali menang, lima kali kalah), jadi ia akan menjadi satu perlawanan sukar,” katanya.

Mengenai peluang Junior Popov membuat kejutan dan layak, Zii Jia berkata apa-apa sahaja boleh berlaku pada perlawanan di Olimpik.

“Saya rasa sesiapa sahaja yang saya jumpa akan sukar. Popov akan bermain di hadapan penyokongnya sendiri, jadi tentunya dia lebih bersemangat dan yakin, berbanding biasa,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :