Pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) antara yang terangkum dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). Foto laman web klia2.info
AGENDANASIONAL

Operasi jet di Subang jana ekonomi, perluas rangkaian pengangkutan udara

Oleh Yasmin Ramlan

SHAH ALAM, 1 OGOS: Pengoperasian semula jet enam syarikat penerbangan di Subang bermula hari ini bakal meningkatkan lagi rangkaian pengangkutan udara Malaysia.

Ahli ekonomi Prof Barjoyai Bardai berkata ia juga bagi memenuhi keperluan untuk kawasan sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam, Klang, dan Putrajaya memiliki operasi lapangan terbang yang aktif.

Bercakap kepada Media Selangor, beliau menjelaskan penyambungan semula perkhidmatan penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) akan dapat menampung lebih ramai penumpang.

“Ia juga merupakan lapangan terbang terdekat dan paling efektif untuk pengangkutan kargo kerana banyak industri terletak berhampiran lapangan terbang ini, sekali gus mengurangkan kos logistik.

“Selain itu, terdapat pelbagai perkhidmatan, terutama berkaitan pesawat dan perkhidmatan penyelenggaraan, yang tersedia di Lapangan Terbang Subang,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sebanyak enam syarikat penerbangan akan menyambung semula operasi di LTSAAS bermula hari ini, menggunakan pesawat lorong tunggal.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (kanan) membuat tinjauan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) selepas mengadakan sesi sidang media mengenai hala tuju dasar LTSAAS pada 6 Februari 2023. Foto BERNAMA

Beliau berkata enam syarikat penerbangan tersebut ialah FireFly, AirAsia Malaysia, Batik Air Malaysia, SKS Airways, Transnusa, dan Scoot Pte Ltd.

Jelasnya, operasi penerbangan akan bermula dari 6 pagi hingga 10 malam sahaja, tanpa penerbangan tengah malam berikutan lapangan terbang itu terletak di kawasan perumahan.

Operasi pesawat lorong tunggal di Lapangan Terbang Subang disambung semula selepas semua operasi pesawat jet dipindahkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2002.

Sementara itu, seorang lagi pakar ekonomi Prof Emeritus Datuk Zakariah Abdul Rashid berkata keputusan menyambung semula operasi penerbangan akan menyumbang kepada ekonomi negara.

Beliau menambah Lapangan Terbang Subang dijangka menarik lebih banyak syarikat penerbangan dan pelaburan, yang berpotensi mengubah lapangan terbang itu sebagai hab penerbangan serantau.

“Banyak syarikat penerbangan menunjukkan minat menggunakan lapangan terbang ini, maka pelaburan modal tetap yang tinggi akan masuk, sekali gus menjadikannya hab penerbangan serantau.

“Pastinya, ini akan memanfaatkan Selangor khususnya dan Malaysia secara amnya dalam pelan strategik mereka untuk mempromosikan industri aeroangkasa dan pekerja mahir,” katanya.

Menyokong pandangan Zakariah, ahli ekonomi Baayah Baba menekankan kemudahan perjalanan udara bagi penduduk Lembah Klang, yang seterusnya menggalakkan pertumbuhan perniagaan berkaitan.

“Ia membantu mempertingkat perniagaan di Selangor dan menarik perniagaan asing. Selain itu, ia menjadikan perjalanan udara lebih mudah berbanding perjalanan ke KLIA.

“Pelancong antarabangsa akan lebih cenderung untuk melawat Malaysia, terutamanya Kuala Lumpur, kerana ia menawarkan pilihan pendaratan tambahan,” katanya.

 


Pengarang :