Sebahagian pegamal media berkumpul dan memegang plakad sebagai tanda solidariti kepada wartawan dan jurufoto yang terkorban di Gaza sempena Himpunan #SavePress4Gaza Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 18 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAGLOBAL

Dua petugas media Al Jazeera terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza

BANDARAYA GAZA, 1 OGOS: Dua petugas media televisyen Qatar Al Jazeera terbunuh dalam serangan udara Israel di sini pada Rabu.

Agensi Anadolu melaporkan penyiar yang berpangkalan di Doha itu menyatakan bahawa wartawan Ismail al-Ghoul dan jurukameranya Rami al-Rifi terkorban dalam serangan yang menyasarkan sebuah kereta berhampiran kawasan Aidia di barat bandar raya itu.

Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata kematian baharu ini menjadikan jumlah wartawan Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza mencecah 165 orang sejak 7 Oktober 2023, katanya.

Dalam satu kenyataan, pejabat media itu menyeru masyarakat antarabangsa dan organisasi media “untuk menghalang pendudukan (Israel) dan mendakwa mereka di mahkamah antarabangsa atas jenayah berterusan mereka, dan mendesak mereka menghentikan jenayah genosid serta menghentikan pembunuhan wartawan Palestin.”

Sekurang-kurangnya 39,445 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 91,000 cedera dalam serangan kejam berterusan Israel di Gaza sejak 7 Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

— BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :