Pemimpin kanan Hamas Ismail Haniyeh (tengah) melambai tangan selepas melawat tahanan Palestin yang baru dibebaskan Rawda Saed (tidak dalam gambar), di Kota Gaza, pada 4 Oktober 2009. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ismail Haniyeh dibunuh: Apa yang kita tahu setakat ini?

Berita pembunuhan pemimpin kanan Hamas Ismail Haniyeh pada awal pagi Rabu di Tehran, Iran menggegarkan seluruh dunia. Pembunuhan berlaku ketika Israel belum juga lagi meredakan keganasannya ke atas Gaza dan seluruh Palestin yang memuncak sejak 7 Oktober 2023.

Pembunuhan itu dilihat bakal meningkatkan ketegangan di rantau Arab. Lebih buruk lagi, ia tentu menjejaskan rundingan gencatan senjata antara rejim Zionis dan Hamas yang dituntut oleh banyak pihak termasuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan Israel harus serta-merta berundur dari setiap inci bumi Palestin yang didudukinya.

Berikut apa yang kita tahu setakat ini, lebih kurang 24 jam selepas pembunuhan yang mengejutkan itu:

Apa yang berlaku?

Ismail Haniyeh berada di Tehran, Iran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Masoud Pezeshkian sebagai presiden baharu republik Islam itu. Agensi berita Fars yang dekat dengan pentadbiran Iran melaporkan Ismail tinggal di kediaman yang terletak di bahagian utara Tehran.

Sebuah lagi agensi berita kerajaan IRNA melaporkan sebuah peluru berpandu menyasari kediaman Ismail lebih kurang pukul 2 pagi waktu tempatan (6:30 pagi waktu Malaysia). Agensi sama melaporkan seorang pengawal Ismail juga terbunuh.

Sehingga ini belum ada maklumat rasmi mengenai lokasi dari mana peluru berpandu itu dilancarkan.

Hamas dalam reaksi awal mendakwa serangan yang membunuh Ismail didalangi oleh Zionis. Jurucakapnya Sami Abu Zuhri berkata pembunuhan Ismail tidak akan mematahkan semangat Hamas dan rakyat Palestin.

“Hamas adalah sebuah konsep dan sebuah institusi, bukannya orang. Hamas akan istiqamah biar apa pun harga yang perlu dibayar. Kami yakin akan menang,” katanya

Seorang lagi pemimpin kanan Hamas, Moussa Abu Marzouk pula menegaskan pembunuhan Ismail adalah “tindakan pengecut yang pasti akan dihukum”.

Siapa Ismail Haniyeh?

Apa reaksi Israel?

Tentera Israel pada awalnya berkata mereka tidak akan memberi maklum balas terhadap laporan media asing mengenai kematian Ismail, namun kemudian memaklumkan ia sedang menilai keadaan semasa.

Serangan ke atas Ismail berlaku hanya beberapa jam selepas Israel mengaku bertanggungjawab ke atas satu serangan lain di Beirut, Lubnan yang membunuh komander Hezbollah, Fu’ad Shukr.

Israel mendakwa Fu’ad mendalangi serangan ke atas wilayah Bukit Golan yang membunuh 12 remajanya. Wilayah itu kini diduduki oleh rejim Zionis yang merampasnya daripada Lubnan selepas Perang Enam Hari pada Jun 1967.

Dalam pada itu, beberapa menteri dan ahli politik Israel mengeluarkan kenyataan menyambut baik pembunuhan Ismail.

Apa reaksi Malaysia?

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Ismail Haniyeh di Doha ketika lawatan rasmi ke Qatar pada 13 Mei 2024. Foto FacebookAnwar Ibrahim

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam reaksinya berkata pembunuhan kejam ini hendak menggagalkan rundingan ke arah gencatan senjata yang sedang berjalan.

Pejabat Perdana Menteri sebelum itu mengecam pengendali platform media sosial Meta kerana menurunkan gambar pertemuan Anwar dan Ismail yang dirakam di Doha, Qatar, pada Mei lepas.

Wisma Putra pula dalam satu kenyataan berasingan mahu pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Malaysia juga menggesa semua pihak supaya bertenang sementara fakta mengenai pembunuhan itu sedang diperoleh,” kata kenyataan Kementerian Luar.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari pembunuhan Ismail adalah tindakan kejam berterusan rejim Zionis melanggar hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa terhadap rakyat Palestin.

“Saya turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh umat Islam di Palestin atas tragedi ini,” katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa agama persekutuan dan negeri turut mengarahkan semua masjid dalam bidang kuasa masing-masing untuk menyempurnakan solat jenazah ghaib untuk Ismail.

Di mana pengkebumian Ismail Haniyeh?

Jenazah Ismail akan diterbangkan dari Iran ke Qatar pada Khamis (1 Ogos) untuk dikebumikan di sebuah bandar tidak jauh dari Doha pada Jumaat, lapor Al-Arabiya memetik kenyataan Hamas. Jenazah sebelum itu akan disembahyangkan di Tehran, diketuai oleh Pemimpin Agung Iran Ali Khamenei.

Setiba di Doha, jenazah dijadual dibawa ke Masjid Imam Muhammad Abdul Wahab dan disembahyangkan selepas solat Jumaat. Jenazah kemudian akan dikebumikan di Lusail, sebuah bandar yang terletak kira-kira 18 kilometer dari Doha.

Sementara itu, satu perarakan mengecam pembunuhan Ismail berlangsung di Tehran hari ini. Perarakan bermula di Universiti Tehran menuju Dataran Azadi. Iran sebelum ini mengisytiharkan tempoh berkabung tiga hari sehingga Jumaat.

Persoalan yang jadi perhatian selepas ini

Sekurang-kurangnya ada dua persoalan utama yang menjadi perhatian dunia selepas Palestin kehilangan seorang tokoh utamanya.

Apa akan jadi kepada rundingan gencatan senjata yang akan memberi kesan kepada nasib ribuan penduduk Palestin di Gaza yang terkepung serta tebusan dan tawanan kedua-dua pihak?

Apakah pembunuhan ini akan mencetuskan perang di rantau Arab?


Pengarang :