AGENDAJENAYAH

Tiga termasuk dua beranak rentung, tiga lagi cedera kebakaran rumah

PITAS, 1 OGOS: Tiga termasuk dua beranak rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Blok 5 di sini pagi tadi.

Abdul Malik Mad Tasin berusia 50-an, anak perempuannya Nur Adriana Qistina Abdul Malik, 11, dan seorang saudara mereka Salleh Onding berusia 60-an ditemukan rentung dalam kejadian itu.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu Rantey Fred berkata lapan anggota dari balai bomba itu bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 2.19 pagi.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 40 X 50 kaki (12.19 X15.24 meter) terbakar 100 peratus. Turut terbakar dua kenderaan jenis Perodua Kembara dan Proton Waja, terbakar 100 peratus.

“Tiga mangsa ditemukan rentung oleh bomba, manakala tiga lagi mangsa perempuan cedera ringan dan dihantar ke Hospital Pitas oleh orang awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal pada 3.25 pagi sebelum operasi ditamatkan 6.36 pagi, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.

Pitas adalah daerah yang terletak di bahagian utara Sabah, kira-kira 174 kilometer dari Kota Kinabalu.

– BERNAMA


Pengarang :