Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Ismail Haniyeh di Doha ketika lawatan rasmi ke Qatar pada 13 Mei 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

PM: Perhimpunan solidariti sampaikan mesej kutuk pembunuhan Ismail Haniyeh

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Perhimpunan solidariti bersama rakyat Palestin di Arena Axiata, Bukit Jalil Ahad ini adalah antara tindakan bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh dan menyokong Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Mesyuarat Jemaah Menteri telah mengadakan perbincangan dan mengeluarkan kenyataan tegas berhubung isu Palestin.

“Kita sudah berbincang dalam kabinet, kita sudah membuat kenyataan tegas dan kita akan ada perhimpunan Ahad ini. Saya ingat ini sudah cukup untuk kita menyampaikan mesej,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian selepas menghadiri majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2024 di Masjid Negara hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata satu perhimpunan solidariti bersama rakyat Palestin akan diadakan Ahad ini selepas solat Maghrib dengan dihadiri Perdana Menteri.

Majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat itu, yang diadakan sejurus solat Asar, dihadiri kira-kira 1,000 orang termasuk warga Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat yang berlangsung hampir sejam itu dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Perdana Menteri kemudian meluangkan masa menyantuni jemaah sebelum berangkat pulang jam 6 petang.

– BERNAMA


Pengarang :