Petugas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuat persampelan terhadap aliran air berbuih yang dikesan di Sungai Gombak pada 8 Jun 2024. Foto Facebook LUAS
AGENSISELANGOR

LUAS kutip lebih RM1 juta hasil kompaun pelbagai kesalahan tahun lalu

SHAH ALAM, 1 OGOS: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengutip lebih RM1 juta kompaun daripada 50 entiti yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan merisiko sumber air mentah sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya Hasrolnizam Shaari dalam wawancara khas bersama Media Selangor semalam memberitahu tindakan dibuat hasil pemantauan dan penguatkuasaan berterusan anggota di lapangan.

“Untuk 2024, RM800,000 kompaun dikutip sehingga kini dan kita jangka jumlah itu bertambah. Biasanya kesalahan dikesan bukan kesalahan berulang tetapi orang berlainan.

“Misalnya apabila LUAS ke sesebuah tempat, kita dapati kaedah pengurusan kerja mereka tidak baik. Ada juga selepas pensampelan air dibuat, kita kesan terdapat elemen melanggar peraturan dan melepasi kawalan ditetapkan.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Hasrolnizam Shaari ketika temu bual khas bersama Media Selangor di Bangunan Darul Ehsan pada 31 Julai 2024. Foto ZAREEF MUZAMMIL/MEDIA SELANGOR

“Saman juga terus dikeluarkan sekiranya didapati mesin dan peralatan yang digunakan premis berkaitan rosak,” katanya.

Beliau turut mendedahkan terdapat satu kes terpaksa dibawa ke mahkamah berikutan pelaku enggan membayar kompaun dan kini dalam proses sebutan.

“Ia melibatkan kes pencemaran kolam takungan banjir di PJS 8/9 tahun lepas. Kita mengkompaun pihak terbabit, namun dia tidak mahu bayar dan memilih untuk bertemu di mahkamah,” katanya.


Pengarang :