Pearly Tan-M Thinaah mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan pemenang pingat gangsa edisi lalu Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan pada 1 Ogos 2024. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

MB ucap tahniah atas kejayaan Pearly Tan-M Thinaah

SHAH ALAM, 1 OGOS: Dato’ Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada Pearly Tan-M Thinaah kerana menjadi beregu badminton wanita pertama negara mara ke separuh akhir Sukan Olimpik.

Menerusi catatan di Facebook beliau, Dato’ Seri Amirudin Shari juga mengajak semua rakyat memberi sokongan buat pasangan berkenaan dalam aksi separuh akhir, esok.

“Tahniah buat pasangan regu badminton Malaysia, saudari Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan yang mencipta sejarah sebagai pasukan Beregu Wanita Malaysia pertama mara ke separuh akhir Sukan Olimpik.

“Pearly dan Thinaah bakal beraksi pada 2.30 petang esok. Mari bersama berikan sokongan buat pasangan wirawati kita ini!,” katanya.

Pada aksi suku akhir di Porte de La Chapelle Arena, Pearly-Thinaah menewaskan Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan yang juga pasangan ranking ke-10 dunia dengan 21-12, 21-13.

Pearly-Thinaah akan bertemu beregu nombor satu dunia dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada pusingan separuh akhir nanti.

Beregu negara hanya sekali layak ke suku akhir Sukan Olimpik iaitu di Rio 2016 apabila pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas kepada juara acara itu Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.


Pengarang :