Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain melakukan imbasan kod QR sambil disaksikan Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir ketika majlis pelancaran Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTReC) oleh KDEBWM di Pusat Kitar Semula Cyberjaya (PKSC), Sepang pada 25 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

KDEBWM hasrat perluas pusat kitar semula pandu lalu, mudah diakses komuniti

SHAH ALAM, 2 OGOS: KDEB Waste Management (KDEBWM) berhasrat menambah bilangan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ATDReC) di beberapa lagi kawasan.

Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata Hulu Selangor, Ampang dan Petaling Jaya antara kawasan yang sedang dikenal pasti untuk perluasan inisiatif tersebut.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Dato’ Ramli Mohd Tahir pada majlis perasmian Pusat Kitar Semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita memang telah berbincang dengan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sedang menganalisis dan mengenalpasti beberapa tapak sesuai.

“Kalau ada yang sesuai insya-Allah kita akan buat pelaburan baharu untuk menambahkan lagi unit-unit ATDReC ini.

“ATDReC ini memberi satu fenomena baharu untuk menggalakkan orang ramai melakukan kitar semula yang boleh dilakukan 24 jam,” katanya ketika dihubungi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain dan Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir melakukan gimik perasmian sempena majlis pelancaran Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTReC) oleh KDEBWM di Pusat Kitar Semula Cyberjaya (PKSC), Sepang pada 25 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sebelum ini Ramli memaklumkan, ATDReC yang dilancar pada Mac lalu di Pusat Kitar Semula Cyberjaya  berjaya mengutip 1.7 tan barangan kitar semula bagi tempoh April hingga pertengahan Mei.

ATDReC adalah pusat kitar semula pandu lalu automatik dilengkapi kamera litar tertutup dan beroperasi 24 jam bagi menjadikan kitar semula lebih mudah diakses komuniti.

Diiktiraf sebagai Pembekal Perkhidmatan Kitar Semula Inovatif Terbaik dalam Anugerah PC.Com 2024 baru-baru ini, ATDReC menyediakan kemudahan mengitar semula barangan seperti kertas, surat khabar lama, botol plastik dan wayar.


Pengarang :