Beregu wanita negara Pearly Tan dan M Thinaah beraksi menentang beregu wanita China, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan pada acara separuh akhir badminton Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte De La Chapelle pada 2 Ogos 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Pearly Tan-M Thinaah tersungkur separuh akhir Olimpik Paris

PARIS, 2 OGOS: Beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah yang mencipta sejarah mara ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 terpaksa akur dengan kehebatan gandingan nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan sekali lagi, hari ini.

Pada aksi separuh akhir di Porte de La Chapelle Arena pagi ini (petang di Malaysia), harapan rakyat Malaysia untuk melihat mereka mara ke final tidak kesampaian selepas Pearly-Thinaah tewas 12-21, 21-18, 15-21 dalam pertarungan sengit selama 78 minit.

Bagaimanapun, mereka masih berpeluang mencipta sejarah selaku pemenang pingat pertama Malaysia dalam acara itu apabila bertemu pasangan nombor lima dunia Liu Sheng Shu-Tang Ning dari China atau Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun pada aksi penentuan pingat gangsa esok.

Qing Chen-Yi Fan, penyandang pingat perak Olimpik, memulakan aksi dominasi mereka sejak awal perlawanan untuk kemenangan selesa pada set pertama ke atas pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Dalam set kedua, Pearly-Thinaah yang berada di ranking ke-12 dunia kemudiannya meningkatkan intensiti untuk mengejar dari ketinggalan untuk mengikat kedudukan 15-15, sebelum mencatatkan kemenangan 21-18 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Namun, Pearly-Thinaah yang terus memberikan cabaran sengit kepada Qing Chen-Yi Fan dengan sorakan padu penonton dalam set penentuan terpaksa menerima keputusan mengecewakan dalam aksi yang dramatik itu.

Ini merupakan kekalahan kedua Pearly-Thinaah kepada beregu China itu pada Olimpik kali ini selepas tewas 17-21, 20-22 dalam aksi pertama Kumpulan A, Sabtu lepas.

Semalam, Pearly-Thinaah mencipta sejarah selaku beregu wanita pertama negara untuk layak ke separuh akhir di pentas Olimpik selepas menyingkirkan pemenang pingat gangsa edisi lepas Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan 21-12, 21-13.

Pencapaian terbaik terdahulu adalah pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas kepada juara Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi di suku akhir edisi Rio 2016.

Pearly-Thinaah yang memulakan kempen peringkat kumpulan dengan kekalahan kepada Qing Chen-Yi Fan, berjaya bangkit mengubah nasib mereka dengan mencipta kemenangan luar biasa mengatasi pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia untuk melepasi ‘kumpulan maut’ itu.

-BERNAMA

 


Pengarang :