Beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah beraksi dalam separuh akhir Olimpik 2024 di Porte de La Chapelle Arena, Paris pada 2 Ogos 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Olimpik: Pearly-Thinaah mahu tenangkan diri, simpan tenaga rebut gangsa

PARIS, 2 OGOS: Beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah mahu segera pulih dan kembali bertenaga selepas kekalahan kepada beregu nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan hari ini, untuk meneruskan perjuangan mereka dalam Olimpik Paris 2024.

Beregu nombor 12 dunia itu, yang mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama Malaysia mara ke separuh akhir di Olimpik, tewas 12-21, 21-18, 15-21 selepas perlawanan sengit 78 minit menentang pemenang perak edisi lepas itu, di Porte de La Chapelle Arena.

Juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu masih berpeluang untuk merekodkan satu lagi pencapaian sulung bagi negara, iaitu menjadi beregu wanita pertama yang meraih pingat Olimpik, apabila dijadualkan berdepan beregu nombor empat dunia dari Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam perlawanan penentuan gangsa, esok.

“Kami sangat gembira dapat mara sejauh ini, kami hanya mahu set semula minda, tenangkan diri seketika dan kemudian pulih dengan baik, tidur lena dan fokus untuk esok. Banyak perkara positif yang boleh diambil daripada perlawanan ini.

“Setiap atlet pasti mahu menang pingat, tetapi kami rasa kami tidak mahu letak terlalu banyak tekanan pada diri sendiri, seperti yang kami saling katakan di gelanggang, kami hanya mahu menikmati setiap rali,” kata Thinaah kepada Bernama selepas perlawanan separuh akhir itu.

Ditanya mengenai perbezaaan yang dilakukan mereka pada set kedua yang membolehkan mereka mengheret gandingan mantap China itu ke rubber set, beliau berkata selepas kalah set pertama, mereka mahu mengelak melakukan kesilapan mudah dan meningkatkan tekanan pada Qing Chen-Yi Fan.

“Mereka sangat terdesak untuk matikan pukulan, jadi itu bantu kami untuk menang set kedua, namun akhirnya mereka masih lebih berpengalaman dan main agak agresif di penghujung untuk menyukarkan kami membuat serangan balas. Ia bukan laluan yang mudah sejak peringkat kumpulan, ramai yang tak percayakan kami tetapi kami hanya mahu saling mempercayai,” tambahnya.

Sementara itu, Pearly berkata Qing Chen-Yi Fan sudah bersedia untuk menangani smash dan rali mereka, berbanding perlawanan Kumpulan A Sabtu lepas, yang menyaksikan pasangan Malaysia itu kecundang 17-21, 20-22.

“Pada saya perlawanan hari ini, mereka telah betul-betul kaji permainan kami, apa sahaja pukulan kami, mereka telah bersedia untuknya, mereka telah betul-betul bersedia berbanding peringkat kumpulan.

“Mereka tidak mahu bagi kami terlalu banyak mata, mereka cepat betulkan kesilapan. Mereka sangat kuat dari segi mental sebab itu mereka nombor satu dunia, sesuatu yang perlu kami pelajari daripada mereka,” katanya.

Pearly-Thinaah, yang memulakan kempen peringkat kumpulan dengan kekalahan kepada Qing Chen-Yi Fan, berjaya bangkit apabila mencipta kejayaan menakjubkan ke atas beregu Jepun Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia, sekali gus berjaya melepasi ‘kumpulan maut’.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, beregu nombor tiga dunia Liu Sheng Shu-Tang Ning menundukkan Matsuyama-Shida 21-16, 21-19 untuk perlawanan akhir sesama beregu China, esok.

-BERNAMA

 


Pengarang :