Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Skim air percuma bersasar jimat RM100 juta, tambah program kebajikan

PETALING JAYA, 2 OGOS: Pemberian skim air percuma secara bersasar menjimatkan perbelanjaan lebih RM100 juta setahun sekali gus membolehkan negeri melaksana program kebajikan yang memanfaatkan rakyat.

Dato’ Menteri Besar berkata antara program termasuk meningkatkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) kepada RM300 sebulan selain menganjur lebih banyak program pendidikan.

Sebelum langkah penyasaran dibuat, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pentadbiran membelanjakan RM200 juta setahun untuk menjayakan Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang memberi manfaat kepada semua penduduk termasuk golongan berada.

“Semua dapat termasuk mereka yang ada kolam renang, rumah sewa yang banyak. Selepas itu negeri hanya beri mengikut tangga gaji, kediaman kos rendah dan sekarang turut biayai kos air surau dan masjid.

“Kita sasar 600,000 pengguna tetapi lepas tiga tahun (syarat baharu), hanya kira-kira 300,000 sahaja yang daftar. Maknanya hanya mereka perlukan bantuan ini. Dari RM200 juta setahun, kita hanya perlu belanja antara RM40 juta ke RM60 juta.

“Lebihan kita tumpu kepada ekonomi rakyat. Naikkan BINGKAS. Tumpukan kepada pendidikan, jalin kerjasama dengan Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC),” katanya pada sesi bual bicara Ekonomi Madani: Pengalaman Selangor Untuk Malaysia di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika program bual bicara bersama Dato’ Menteri Besar di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menjelaskan lanjut, Amirudin berkata langkah penumpuan kepada pendidikan telah melatih kemahiran kira-kira 2,000 pelatih yang kini menerima peningkatan gaji antara 20 hingga 80 peratus.

“STDC jalin kerjasama dengan syarikat milik Siemens, Mendix serta Festo. Ini beri manfaat besar kepada pelatih sekali gus dapat tingkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.

Pada Ogos 2022, Amirudin berkata kira-kira 100,000 lagi akaun pengguna bakal menikmati skim air percuma 20 meter padu dengan kos lebih RM30 juta dibayar sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Penambahan itu berikutan had minimum pendapatan yang layak menerima manfaat tersebut dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM5,000 dengan pendaftaran masih terbuka kepada penduduk sehingga 31 Disember ini.

Syarat kelayakan lain meliputi pemohon mestilah warganegara Malaysia, premis kediaman jenis meter individu dan hanya layak memohon untuk satu akaun sahaja.


Pengarang :