AGENDAJENAYAH

Wanita menari tidak senonoh berlatar motovan polis ditahan

TAWAU, 2 OGOS: Seorang wanita berusia 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung tindakannya menari dengan aksi tidak senonoh di tempat awam di sini berlatarkan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan merakam serta memuat naik video perbuatan itu di laman media sosial TikTok.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata polis turut merampas telefon bimbit wanita itu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah di sini semalam.

“Tangkapan ini susulan siasatan polis selepas satu laporan diterima daripada seorang lelaki berusia 40 tahun yang juga merupakan pegawai kanan polis berhubung rakaman tersebut yang tular di aplikasi TikTok berdurasi 17 saat pada 4.44 petang Rabu lepas.

“Di dalam klip video tersebut, kelihatan seorang wanita sedang menari dengan aksi yang tidak senonoh di bahagian belakang sebuah motovan milik PDRM,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata video itu dipercayai dirakam semasa kenderaan polis terbabit berhenti di kawasan parkir yang berhadapan dengan sebuah kedai di pusat bandar ini kerana pemandu dan penumpangnya sedang makan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 15 Ordinan Kesalahan Kecil Undang-Undang Negeri Sabah.

-BERNAMA

 


Pengarang :