BUDAYARENCANA

Yang Tak Termiliki Itu Abadi

Oleh Adam Taufiq Suharto

Iliustrasi FAHMI MUSTAFFA

 

Segala yang dihasrat
tapi tak didapat
adalah nikmat
yang paling padat.

‘Nikmat’ yang ‘padat’ itu adalah sesuatu yang saya perolehkan kala menonton beberapa filem asmara yang berpaksikan kependaman dan ketidakmilikan (dalam kata lain, filem yang berpenghujung kedua-dua susuk lelaki dan perempuannya tidak dapat bersama). Dan barangkali, apabila kita bicarakan tentang kependaman dan hubungan yang tak termiliki, magnum opus Wong Kar Wai, In The Mood For Love, adalah sesuatu yang sukar untuk dipandang sebelah mata. Ia berlegar seputar Chow (dipesonakan Tony Leung) dan Su Li Zhen (dipesonakan Maggie Cheung), pasangan berjiran yang akhirnya sampai kepada kesedaran bahawa pasangan mereka berlaku curang antara satu sama lain, dan lebih liar, suami Su Li Zhen menjalin hubungan dengan isteri Chow. Mereka mula berbincang, menyiasat seperti sang detektif yang galak menjejak motif dan alibi (bak hujahan Gary Bettison dalam eseinya). Lalu mereka pun bertanya-tanya, ‘bagaimanakah ia berlaku?’, ‘bagaimanakah ia bermula?’ tanpa mereka sedari ia sedang berlaku dan bermula sesama mereka pula (atau seperti teori-teori konspirasi yang berlegar di internet, sebenarnya hanya mereka yang curang?). Dalam kisah hubungan mereka, moral adalah ‘orang ketiga’; untuk tidak menjadi seperti isteri dan suami yang mencurangi sesama mereka.

Maka mereka berpisah dalam ingin yang tidak ingin. Mereka terus wujud dalam kenangan, memori dan perlahan-lahan menjadi nostalgia dan hantu masa silam masing-masing, Su Li Zhen masih menjadi hantu masa lepas buat Chow dan begitu juga Chow menghantui Su Li Zhen. Malah, terdapat babak Su Li Zhen masuk menawan ruang bilik peribadi Chow di Singapura tanpa memaklumkan Chow tentang kehadirannya, malah tanpa Chow tahu dia telah berlayar jauh dari Hong Kong, tak ubah seperti hantu. Su Li Zhen seperti hantu yang bergentayangan di bilik Chow, membelai dan mengusik-usik apa-apa yang pernah bertanda terusik oleh Chow. Dia juga malah sempat menelefon Chow tanpa dapat mengungkapkan apa-apa, sehingga Chow jadi tak keruan dan tertanya-tanya. Tapi dia tahu, sesuatu dari masa lepas cuba mencapainya tanpa menggapai zahir. Pada akhirnya masa lepas bukanlah masa lepas pun, bak kata Faulkner juga.

‘Hantu masa lepas’ inilah yang Chow ingin ‘buang’ di Angkor Wat supaya para dewa dan alam di balik mata dapat terus menjauhkan Chow daripada ‘hantu masa lepas’ bernama nostalgia. Dia membicarakan rahsianya di lubang dinding Angkor Wat, supaya rahsianya tertanam bersama lumut-lumut di lubang itu, sambil diperhatikan seorang sami dari paras atas, yang mungkin saja curiga tapi mungkin juga lebih tahu, apa yang membelenggu dan ‘merasuki’ Chow. Dia kemudian beredar dan kita sebagai penonton ditinggalkan di dalam Angkor Wat, kerana mungkin rahsia dan rasa Chow kekal di sini tetapi adakah ia sepenuhnya tidak lagi ‘mengganggu’ dan ‘merasuki’ Chow? Seperti bait-bait akhir dalam filem ini, masa silam adalah sesuatu yang boleh diingati tetapi tidak boleh disentuh. Dalam sekuel tak rasmi seterusnya, 2046, Chow ternyata, masih tidak dapat lari daripada ‘hantu masa lepas’ bernama nostalgia. Su Li Zhen abadi dan hakiki untuknya lebih-lebih lagi kenang-kenangan di bilik bernombor 2046.

Daripada drama period berlatar hiruk-pikuk Hong Kong, kita beralih ke drama period di tanah Inggeris, dengan kisah cinta yang tak terluahkan antara seorang butler dengan pembantu rumah. Dalam Remains of the Day, Stevens (dipesonai Anthony Hopkins), seorang butler, memendam rasa kepada Kenton (dipersonai Emma Thomson). Pengabadian Stevens kepada kerja mendahului pengabadian terhadap perasaan hatinya, maka dia mengurung perasaannya terhadap Kenton hinggalah detik Kenton memberitahu bahawa dia akan berkahwin dengan seseorang, pada mata Stevens terpancar kejutan dan kesyahduan, lidahnya dikelukan atas nama profesionalisme itu. Sebenarnya bukan tidak pernah Stevens terlanjur dengan kata-kata, tinggal lagi ia dihaluskan atau disaringkan, ‘Awak tahu yang awak amat penting di rumah ini kan?’ dan juga sekali semasa Kenton mengemas pejabat Stevens dan meletakkan bunga di dalam pasu, Stevens yang sebenarnya tak keruan berkata, dia tidak sukakan bunga tersebut, takut menjadi gangguan. Ia berkias antara bunga yang mengganggunya atau Kenton. Juga adegan yang meletakkan kedua-dua mereka dalam letak-duduk paling dekat sesama mereka apabila Kenton ingin mengetahui apakah buku yang dibaca oleh Stevens, dan Stevens berkeras tidak mahu menunjukkannya malah lari sampai ke penjuru bilik, dan dia terperangkap. Kenton terkejut tetapi tidak menghakimi Stevens yang membaca novel pop-asmara dan Stevens seperti biasa menafikan, dia membacanya untuk menambah-baik kosa kata. Dan sudah tentu babak ini penting kerana ia memberikan sedikit tanda kepada Kenton bahawa Stevens juga punya perasaan seperti manusia lain, tinggal lagi ia ditanam-pendam.

Pada akhirnya, Stevens melepaskan Kenton bukan sahaja sebagai pekerja, tetapi juga sebagai seseorang yang dikasihinya. Walaupun sebenarnya, jauh di sudut hati, Kenton masih berharap yang Stevens akan melakukan sesuatu; menghalangnya? Berterus-terang? Namun itu tidak berlaku. Bertahun-tahun kemudian, setelah Darlignton Hall, rumah tempat mereka berdua pernah bekerja, dibuka semula dan dihuni oleh seorang mantan ahli Kongres Amerika, Stevens bertemu semula dengan Kenton dan cuba mengajaknya kembali bekerja di Darlington Hall. Ia sebenarnya adalah percubaan Stevens merenggut kembali nostalgia lamanya, tetapi dengan facade ‘kerja’ dan malang sekali, Kenton tidak dapat memenuhi hajat itu. Stevens menghantar Kenton masuk ke dalam bas dan di saat tangan mereka terlepas, Kenton menangis, meratap. Stevens masih di ingatannya, menghantuinya, sebuah nostalgia yang tidak terlepaskan, walaupun cuba mencari penutupnya dalam pertemuan yang sekali lagi itu. Ia abadi walaupun tak termiliki. Saya sendiri musykil mengapa filem-filem asmara yang saya minati selalunya berakhir dengan tak termiliki. Mungkin kerana, filem-filem begini mengajarkan bahawa mengasihi bukanlah pada soal menawan dan memiliki, tetapi merasai dan mengikhlaskannya. Seperti mana kita berbuat amal dan baik tanpa mengharap balas.

 


Pengarang :