Cuaca panas terik yang dirakam lensa BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Lebih 176,000 maut akibat panas melampau di Eropah setiap tahun

ISTANBUL, 3 OGOS: Panas melampau meragut nyawa lebih 176,000 orang di Eropah setiap tahun dengan rantau ini menyumbang satu pertiga daripada kematian global, kata Hans Henri P Kluge, Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, lapor Agensi Anadolu.

“Secara global, kira-kira 489,000 kematian berkaitan suhu panas berlaku setiap tahun antara 2000 dan 2019, dengan rantau Eropah menyumbang 36 peratus atau secara purata, 176,040 kematian setiap tahun,” kata Kluge.

WHO Rantau Eropah dengan 53 negara anggota melaporkan cuaca panas pada kadar dua kali ganda purata global, menunjukkan tiga tahun terpanas dalam rekod di rantau ini semuanya berlaku sejak 2020, dan 10 tahun terpanas berlaku sejak 2007.

“Dalam tempoh 20 tahun lalu, terdapat peningkatan 30 peratus dalam kematian berkaitan suhu panas di rantau ini,” kata Kluge sambil menekankan tekanan haba sebagai punca utama kematian berkaitan iklim, terutamanya yang memberi kesan kepada warga tua dan wanita hamil.

Kluge menggesa orang ramai untuk mengelakkan aktiviti berat ketika panas memuncak, memastikan rumah tetap sejuk, kekal terhidrat dan memeriksa individu yang rentan.

“Jaga diri anda dan orang lain, terutamanya warga tua yang menghabiskan banyak masa mereka sendirian,” katanya.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :