AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Biasiswa Wanita Berdaya Selangor dibuka, orang awam, alumni dipelawa mohon

SHAH ALAM, 3 OGOS: Permohonan biasiswa Wanita Berdaya Selangor (WBS) dengan pengkhususan Kursus Pengajian Pengarusperdanaan Gender peringkat doktor falsafah (PhD) boleh dimohon mulai semalam.

WBS memaklumkan tawaran sehingga 31 Ogos itu terbuka kepada alumni Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) berusia 21 hingga 55 tahun dan warganegara Malaysia berusia 21 hingga 45 tahun.

“Biasiswa WBS merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dibawah EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat yang diterajui Anfaal Saari dalam usaha melaksanakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PPSH) melalui WBS sebagai agensi pelaksana.

“Biasiswa ini bermatlamat menyediakan wanita berilmu pengetahuan dan berkompetensi tinggi menerusi pendidikan berterusan, senada dengan aspirasi Dasar Wanita Selangor dalam titik tumpuan tiga iaitu kepimpinan dan perwakilan,” maklum WBS menerusi Facebook.

Pemohon yang berminat perlu mendapat tawaran atau sedang mengikuti kursus pengajian peringkat PhD di mana-mana institut pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta terlebih dahulu sebelum memohon Biasiswa WBS.

Permohonan boleh dibuat dengan mengimbas kod QR yang tertera di poster.

Pertanyaan lanjut boleh hubungi sekretariat WBS menerusi emel [email protected].

Syarat kelayakan seperti berikut:

Orang awam

  • Warganegara Malaysia
  • Lahir di Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun dan pengundi negeri ini
  • Minat dan aktif dalam kerja kemasyarakatan
  • Memenuhi syarat kelayakan kursus dipohon (rujuk melalui laman sesawang WBS)
  • Minimum semester pertama atau tahun pertama pengajian

Alumni AKW

  • Tamat pengajian program AKW dan bergraduasi
  • Memenuhi syarat kelayakan (rujuk laman sesawang WBS)
  • Minimum semester pertama atau tahun pertama pengajian


Pengarang :