Rakyat Iran menghadiri perarakan pengebumian ketua Hamas yang dibunuh, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran pada 1 Ogos 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Imam Masjid Al-Aqsa ditahan kerana berkabung atas kematian Ismail Haniyeh

ANKARA, 3 OGOS: Polis Israel menahan imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Ekrima Sabri semalam kerana berkabung atas kematian ketua politik Hamas, Ismail Haniyeh, lapor Agensi Anadolu.

Hamas dan Iran menuduh Israel bertanggungjawab atas pembunuhan Haniyeh pada Rabu, tetapi Tel Aviv belum mengesahkan atau menafikan keterlibatannya.

Saksi mendakwa polis Israel menyerbu rumah imam itu di Baitulmaqdis Timur dan menahannya, lapor Agensi Anadolu.

Selepas solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa, Sabri mengetuai solat jenazah ghaib untuk Haniyeh.

“Penduduk Baitulmaqdis dan sekitarnya dari mimbar Masjid Al-Aqsa yang diberkati berkabung atas syahidnya Ismail Haniyeh,” katanya dalam khutbah.

Selepas khutbah, polis Israel menjalankan siasatan sama ada kenyataan itu merupakan “hasutan” dan akan bertindak sewajarnya.

Imam berusia 85 tahun itu pernah ditahan beberapa kali oleh tentera Israel dan dilarang memasuki Masjid Al-Aqsa selama beberapa bulan.

Sabri adalah pengkritik tegar terhadap pendudukan Israel di wilayah Palestin yang berlanjutan selama beberapa dekad.

Beliau pernah memegang jawatan mufti Baitulmaqdis dan wilayah Palestin dari 1994 hingga 2006.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :