BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Antara risiko dan manfaat, BRICS blok dagangan terbesar dunia

Setakat ini belum nampak cadangan Malaysia menyertai organisasi antara kerajaan Brazil-Rusia-India-China-Afrika Selatan (BRICS) dijadikan simbol keresahan oleh mana-mana pihak.

Ia jelas berbeza jika dibandingkan dengan ketika Malaysia mahu menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dulu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan perbezaan sambutan ini antara lain tersirat unsur ideologi geopolitik di sebalik dua inisiatif ini.

Walhal, mana-mana perjanjian sebegini sebenarnya terdedah kepada risiko dan peluang yang sama.

Jika TPPA dulu bermula dengan rundingan 12 negara dan kemudian dikenali sebagai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang hanya ditandatangani oleh 11 negara termasuk Malaysia pada 2022 berikutan Amerika Syarikat menarik diri pada saat akhir.

BRICS pula bermula dengan empat negara iaitu Brazil, Rusia, India dan China sebelum disertai oleh lebih banyak negara dari pelbagai benua antaranya Afrika Selatan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sebelas negara anggota CPTPP membentuk keluaran dalam negara kasar (KDNK) mencecah lebih RM60 trillion, menjadikannya antara rundingan perdagangan terbesar di dunia.

BRICS pula membentuk rundingan perdagangan yang lebih besar, dengan KDNK mencecah lebih RM100 trillion.

Itu pun belum mengambil kira tambahan sekitar 30 negara lagi, termasuk Malaysia, yang telah menyatakan minat untuk menyertai rundingan ini.

Pendirian Malaysia untuk terlibat aktif dalam rundingan perdagangan antarabangsa sudah tentu penting untuk difahami dalam konteks ekonomi dan geopolitik.

Dengan status sebagai pengerusi ASEAN bermula tahun hadapan, Malaysia berpeluang menunjukkan contoh bagaimana sebuah negara yang tidak memihak kepada mana-mana blok kuasa besar masih boleh tegas menyatakan pendirian khususnya dalam isu-isu antarabangsa berkepentingan bersama, sekali gus menjalinkan hubungan ekonomi yang aktif dengan semua pihak.

 

Rebut peluang

 

Ini tentunya cabaran yang tidak mudah.

Malaysia sebagai sebuah negara dagang sejak sekian lama tidak boleh melepaskan peluang dengan hanya menjadi penonton ketika negara-negara serantau semakin berkembang maju merebut peluang yang ada.

Malaysia agak beruntung kerana beberapa faktor yang menjadi kelebihan dalam menarik kerjasama perdagangan sambil dirujuk sebagai suara pendamai yang berani.

Baru-baru ini, Indeks Keamanan Global meletakkan Malaysia sebagai antara 10 buah negara paling aman di dunia.

Dari segi Indeks Kemudahan Berniaga, Malaysia antara 12 negara paling mudah berurusniaga dalam 190 ekonomi yang dinilai.

Indeks Peluang Global meletakkan Malaysia di tempat ke-27 di dunia dan yang terbaik dari segi keseluruhan persekitaran pelaburan di Asia.

Sudah tentu banyak lagi kelebihan Malaysia boleh diceritakan.

Pertumbuhan KDNK suku pertama 4.2 peratus berbanding jangkaan awal sekitar 3.9 peratus serta pertumbuhan KDNK suku kedua 5.8 peratus berbanding jangkaan tertinggi 5.1 peratus menunjukkan wujud keyakinan besar dalam pasaran modal dan ekonomi Malaysia ketika ini.

Kita menjangkakan ini akan berterusan untuk satu tempoh dan ia memberikan kesan baik kepada negara secara keseluruhannya.

Ia adalah petunjuk keyakinan pemain-pemain industri kepada kestabilan politik dan dasar-dasar yang diambil kerajaan.

Namun kerajaan harus melihat perkembangan ini dengan rasa syukur dan bermuhasabah.

Kekuatan makroekonomi negara mesti diseimbangkan dengan ketidaktentuan mikroekonomi yang berlarutan sejak sekian lama.

Usaha membasmi kemiskinan mutlak, meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, menstabilkan bekalan keperluan asas dan harga, meningkatkan peluang dan persaingan, menghapuskan rasuah, menyediakan peluang pendidikan dan pekerjaan bermutu, peralihan kepada sumber tenaga lebih cekap, penyediaan kemudahan asas air, elektrik dan perumahan yang setimpal masih tetap menjadi antara persoalan umum sampai bila-bila.

Dengan prestasi mantap di peringkat makro dalam tempoh satu tahun setengah (19 bulan) Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, rakyat menantikan sentuhan magis beliau yang dulu lebih terkenal sebagai pejuang rakyat terbawah.

Jika dulu Anwar masih kekal diingat demikian sambil diiktiraf antara menteri kewangan terbaik di Asia dan di dunia, saya percaya beliau masih pemimpin yang mempunyai iltizam sama untuk memastikan agenda kemajuan kita bersifat manusiawi.

*** Penulis adalah pengerusi Institut Terjemahan Buku Negara dan bekas ahli parlimen


Pengarang :