AGENDAJENAYAH

Wanita maut treler rempuh rumah, tiga mangsa cedera

KUANTAN, 3 OGOS: Seorang wanita maut dalam runtuhan rumah selepas dirempuh treler terbabas di Kampung Ketapang Hilir, Pekan pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 4.46 pagi.

Beliau berkata 16 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan serta Peramu digerakkan ke lokasi.

Ismail berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa dalam runtuhan dilakukan sebelum pihaknya menemukan mangsa di bahagian bawah hadapan treler itu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiga mangsa termasuk pemandu treler mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.

– BERNAMA


Pengarang :