Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama atlet selepas majlis penyerahan bendera Kontinjen Selangor ke SUKMA ke-XXI 2024 Sarawak di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 3 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SUKMA: Menang emas, insentif hingga RM10,000 untuk atlet Selangor

SHAH ALAM, 3 OGOS: Insentif sehingga RM10,000 diberi kepada atlet Selangor yang meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos ini.

Dato’ Menteri Besar berkata ganjaran RM10,000 diberi kepada atlet sukan individu, RM5,000 seorang (acara berpasukan bawah lima orang) dan RM3,000 seorang (acara berpasukan lebih lima orang).

“Ganjaran kepada atlet Selangor menyaksikan peningkatan tiga kali ganda berbanding temasya sama pada 2022, sesuai dengan perubahan masa.

“Kita pernah beri ganjaran RM5,000 semasa kita jadi juara keseluruhan pada SUKMA 2016. Pada 2022, kita beri ganjaran RM3,500. Sesuai dengan perubahan masa selama hampir 10 tahun ini, sudah tiba masanya untuk kita nilai balik,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata pada sidang media selepas  Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Selangor ke Sukma XXI, Sarawak 2024 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 hari ini.

Majlis yang meraikan semangat 704 atlet itu turut dihadiri EXCO Sukan Najwan Halimi dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

Amirudin berkata, ganjaran bagi pemenang pingat perak dan gangsa akan diumum kemudian selain mahu kontinjen negeri berusaha memburu kejuaraan kali ke-10 SUKMA.

Menurutnya, sasaran 61 pingat emas adalah relevan berdasarkan penilaian terhadap atlet, malah semua acara sukan yang disertai Selangor berpotensi membawa pulang pingat tertinggi itu.

“Selangor berpotensi menang semua acara. Tetapi ada beberapa acara yang kita sasar seperti renang, basikal, olahraga dan memanah, ini antara yang jadi tumpuan.

“Yang lain seperti judo, karate, teakwando, silat juga ada potensi. Banyak sukan dalam bentuk subjektif, tetapi tidak boleh dijangka. Kita harap boleh menang,” katanya.

Selangor menyasarkan kutipan 61 pingat emas dan kedudukan tiga teratas pada edisi kali ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerima bendera yang dibawa oleh atlet petanque Ayzek Hakimi sempena majlis penyerahan bendera Kontinjen Selangor ke SUKMA ke-XXI 2024 Sarawak di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 3 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
tlet Petanque Ayzek Hakimi membaca ikrar di hadapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena majlis penyerahan bendera Kontinjen Selangor ke SUKMA ke-XXI 2024 Sarawak di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 3 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :