Kepulan asap tebal menyeliputi bandar Gaza susulan serangan udara Israel pada 11 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Kampus universiti musnah dibom Israel, lebih 39,000 terbunuh sejak 7 Oktober

BANDARAYA GAZA, 4 OGOS: Tentera Israel mengebom Kolej Universiti Sains Gunaan di kawasan kejiranan Tel al-Hawa, barat daya Bandaraya Gaza dan memusnahkan bangunan kampus sepenuhnya, lapor Pertahanan Awam Palestin di Gaza semalam.

Agensi Anadolu melaporkan Jurucakap Pertahanan Awam, Mahmoud Basal berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa “tentera pendudukan Israel, yang telah memasuki kawasan kejiranan Tel al-Hawa, melaksanakan operasi pengeboman dan pemusnahan bangunan universiti, menyebabkan kemusnahan sepenuhnya.”

Saksi berkata Anadolu bahawa letupan besar kedengaran di sekitar kawasan universiti, dan asap tebal kelihatan naik dari kawasan berkenaan.

Sejak bermulanya serangan dahsyat Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober, tentera Israel secara sengaja menyasarkan dan memusnahkan institusi pendidikan, terutamanya semasa serangan darat.

Menurut statistik daripada Pejabat Media Kerajaan di Gaza, Israel telah memusnahkan 117 sekolah dan universiti, merosakkan 332 lagi, dan membunuh 107 saintis, profesor universiti, dan penyelidik.

Lebih daripada 39,500 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak 7 Oktober, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan hampir 91,300 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Hampir 10 bulan diserang Israel, sebahagian besar Gaza kini bertukar bentuk kepada runtuhan di tengah sekatan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan yang akut.

Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang memerintahkan ia segera menghentikan operasi ketenteraannya di bandar selatan Rafah, di mana lebih daripada 1 juta rakyat Palestin telah mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diserang pada 6 Mei.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :