SHAH ALAM, 4 OGOS: Seramai 200 individu menerima bantuan RM1,000 untuk bayaran pendahulan pembelian motosikal, kata EXCO sumber manusia.
V Papparaidu berkata peruntukan keseluruhan RM200,000 di bawah program BikeCare-1000 itu diharap meringankan beban golongan berpendapatan rendah untuk membeli motosikal terutama yang menggunakannya untuk menyara keluarga.
“Kerajaan Negeri bantu bayar wang pendahuluan RM1,000. Penerima hanya perlu jelasnya baki harga motosikal. Diharap inisiatif ini sedikit-sebanyak meringankan beban kewangan.
“Antara kriteria penerima adalah berpendapatan rendah. Kita mahu bantu supaya mereka dapat menjana pendapatan dengan lebih baik sekali gus memastikan kestabilan ekonomi keluarga,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan motosikal kepada penerima di Foyer SUK di sini, hari ini.
Papparaidu yang juga ahli dewan negeri Banting turut memaklumkan pihaknya bercadang untuk melanjutkan program bantuan ini pada masa akan datang supaya lebih ramai terima manfaat.
“Kita akan adakan mesyuarat dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk membincang perkara ini dan pada masa sama mewujudkan bantuan peralatan lain seperti komputer riba kepada pelajar universiti,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Maszura Mohamad, 42, yang bekerja sebagai kerani di Puchong memaklumkan beliau akan menggunakan motosikal tersebut untuk berulang alik pergi kerja.
“Sebelum ini, saya pinjam motosikal suami tetapi baru-baru ini terlibat dengan kemalangan, jadi terpaksa pergi kerja menaiki kereta. Kos membawa kereta agak tinggi dan agak membebankan.
“Apabila dapat motosikal ini, ia waktu yang tepat dan dapat ringankan beban dan wang digunakan untuk belanja tiga anak masih bersekolah,” katanya.
Pemandu lori Ng Chee Hwo, 40, memaklumkan beliau selepas ini tidak perlu lagi meminta bantuan orang lain untuk menghantarnya ke tempat kerja di Klang.
“Sebelum ini, saya perlu meminta bantuan keluarga atau kawan-kawan untuk menghantar ke tempat kerja kerana tidak mempunyai kenderaan. Terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana wujudkan bantuan ini,” katanya.
Bagi P Verakumar, 42, pula beliau sangat gembira kerana tidak sangka pemohonan yang dihantar dua bulan lalu diluluskan dan kini memiliki motosikal sendiri.
“Saya perlukan motosikal ini untuk ke tempat kerja dan memudahkan menghantar anak ke sekolah. Sebelum ini memang tidak ada motosikal kerana perlu bayar wang pendahuluan agak tinggi,” katanya.
Pada 2022, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memperkenalkan program BikeCare-1000 bagi meringankan beban pekerja ekonomi sampingan khususnya ketika pandemik Covid-19.