AGENDAJENAYAH

Pemandu treler rempuh rumah sebabkan kematian direman empat hari

PEKAN, 4 OGOS: Pemandu treler yang merempuh sebuah rumah sehingga menyebabkan dua beradik maut di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, semalam direman empat hari.

Perintah reman ke atas pemandu berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Melody Woon Sze Mun hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, pemandu treler itu yang memakai baju lokap oren tiba di mahkamah jam 9.45 pagi diiringi polis.

Dalam kejadian 4.15 pagi itu, treler membawa muatan siling kapur dari arah Johor Bahru, Johor menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan di selekoh kiri dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan.

Tragedi itu menyebabkan Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya Mohd Waldon Faris, 21, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.

Ibu bapa mangsa Norrulaini Mohd Hassan, 54, dan Nasruddin Othman, 60, serta rakan Mohd Waldon Faris, Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal, 19, yang turut berada dalam rumah cedera dan dirawat di Hospital Pekan.

– BERNAMA


Pengarang :