Kepulan asap tebal menyeliputi bandar Gaza susulan serangan udara Israel pada 11 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Tiga terbunuh Israel bom khemah penduduk di hospital Gaza

ANKARA, 4 OGOS: Sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin terbunuh dan lebih 18 yang lain cedera pada Ahad dalam serangan Israel yang menyasarkan khemah penduduk di sebuah hospital di tengah Semenanjung Gaza, kata pejabat media kerajaan, lapor Agensi Anadolu.

“Pasukan pendudukan Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Hospital Syuhada Al-Aqsa dengan mengebom beberapa khemah yang menempatkan orang yang dipindahkan,” kata pejabat media dalam satu kenyataan mengenai serangan ke atas Deir al-Balah.

“Serangan kejam ini mengakibatkan tiga individu mati syahid dan lebih 18 kecederaan setakat ini, termasuk kecederaan serius yang sedang dirawat oleh pasukan perubatan di hospital,” tambahnya.

Pejabat media itu mengutuk “dengan sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai terbaru yang dilakukan oleh pasukan pendudukan Israel.”

Ia mendesak “komuniti antarabangsa serta organisasi antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendesak pasukan pendudukan Israel menghentikan genosid dan pertumpahan darah di Semenanjung Gaza.”

Israel yang mengingkari resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera, telah menghadapi kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan kejam berterusan ke atas Gaza.

Lebih 39,500 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan hampir 91,300 cedera sejak serangan Israel ke atas Gaza bermula pada 7 Okt, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Hampir 10 bulan selepas perang Israel, kawasan Gaza yang luas berada dalam runtuhan di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang mengarahkannya untuk segera menghentikan operasi ketenteraannya di bandar selatan Rafah, yang lebih 1 juta rakyat Palestin telah mencari perlindungan daripada perang sebelum mereka diserang pada 6 Mei.

-BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :