Ribuan orang menghadiri Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mualaf Cina antara ribuan hadiri himpunan solidariti Palestin

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Ribuan rakyat membanjiri Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil bagi menghadiri Himpunan Pembebasan Palestin seawal jam 5 petang tadi.

Tanpa mengira latar belakang, masing-masing membawa bendera Palestin, sepanduk dan poster bagi mempamerkan kebencian mereka terhadap penindasan Israel.

Aishah Lee

Seorang saudara baharu hadir bersama keluarganya bagi merakam himpunan tersebut yang akan diterjemah kepada bahasa Cina dan disiar menerusi kumpulan sembang di aplikasi Telegram ‘Palestine Awareness Chinese’.

Menurut Aishah Lee, 40, beliau menubuhkan kumpulan sembang itu sejak enam bulan lalu bagi memberi penerangan kepada rakyat berbangsa Cina mengenai kesengsaraan dihadapi rakyat Palestin.

“Saya datang untuk merakam himpunan ini, kemudian saya terjemah ke dalam bahasa Cina dan letak di dalam Telegram. Ramai orang Cina masih tidak faham isu yang melanda rakyat Palestin.

“Ini bukan isu agama, tetapi isu kemanusiaan. Jadi, saya harap usaha ini dapat membantu lebih ramai, terutamanya orang bukan Islam untuk faham dengan lebih baik,” kata ibu lima anak itu.

Siti Mariam Diran

Sementara itu, Siti Mariam Diran, 57, hadir bersama 40 ahli kariah Masjid Ibnu Abbas, Taman Ibu Kota di sini, bagi mempamerkan kebersamaan dan meluah kasih sayang terhadap rakyat Palestin.

Beliau turut berharap kerajaan dapat melipat ganda usaha membantu Palestin menerusi bantuan perubatan, makanan serta kewangan.

“Kita tidak bantu dari segi keupayaan tenaga atau ketenteraan, jadi saya harap kita semua boleh tambah usaha beri bantuan perubatan, makanan atau apa jua bantuan secepat mungkin,” katanya.

Kanak-kanak dari Persatuan Anak Muda Gombak turut serta dalam Himpunan Pembebasan Palestin di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil pada 4 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan itu kira-kira jam 9.50 malam ini, bersama lima pemimpin lain.

Acara itu juga akan diserikan dengan persembahan anak-anak Palestin, kumpulan Rabbani, Faizal Tahir selain tayangan video belasungkawa Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.

Pada 24 Oktober tahun lalu, Himpunan Malaysia Bersama Palestin diadakan di Axiata Arena yang menghimpunkan pemimpin Kerajaan Perpaduan dan pembangkang, bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin.


Pengarang :