Pesawat milik Malaysia Airlines mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Masalah teknikal, pesawat bawa jemaah umrah patah balik ke KLIA

PUTRAJAYA, 4 OGOS: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat Malaysia Airlines MH156 yang dalam perjalanan ke Jeddah telah berpatah balik ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud ketika dihubungi Bernama berkata pesawat berkenaan yang membawa lebih 250 jemaah umrah, dipercayai berpatah balik disebabkan masalah teknikal.

“Pihak syarikat telah memberikan laporan awal kepada CAAM, maklumat terperinci mengenai insiden ini kena tunggu siasatan penuh.

“Ini hanya sebagai langkah berjaga-jaga disebabkan isu teknikal, mereka memutuskan untuk tidak meneruskan penerbangan,” katanya.

Beliau turut mengesahkan semua anak kapal dan penumpang di dalam pesawat itu berada dalam keadaan selamat.

Terdahulu, media melaporkan sebuah pesawat Malaysia Airlines yang membawa 259 jemaah daripada dua agensi untuk menunaikan umrah, terpaksa berpatah balik selepas hampir dua jam berlepas dari KLIA.

Berdasarkan maklumat dipaparkan laman web www.Flightaware.com, penerbangan MH156 itu berlepas dari KLIA pada 3.13 petang dan selamat mendarat pukul 4.56 petang.

Sementara itu, Malaysia Airlines dalam kenyataan dikeluarkan hari ini mengesahkan bahawa penerbangan MH156 ke Jeddah berpatah balik ke Kuala Lumpur disebabkan masalah teknikal sebaik sahaja berlepas.

Kenyataan itu menjelaskan pesawat berkenaan selamat mendarat pada 4.56 petang dan semua penumpang ditempatkan di sebuah hotel dan penerbangan baharu mereka dijadualkan semula yang akan berlepas pada 9 pagi esok.

“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang dan kru kami tetap menjadi keutamaan,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :