Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedih ketika mendengar pesanan terakhir Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh kepadanya, dalam program Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM sebak dengar pesanan Ismail Haniyeh sebelum dibunuh Zionis

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menitiskan air mata ketika mendengar pesanan terakhir Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh kepadanya, sebelum dibunuh rejim Zionis Rabu lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul ketika menyampaikan amanat tersebut berkata, Allahyarham Ismail mahu Anwar meneruskan perjuangan mulia menentang Israel demi nasib anak-anak Palestin.

“Saya diminta perdana menteri untuk mewakili negara menghadiri upacara angkat sumpah presiden baharu Iran. Kebetulan tempat duduk saya berada di belakang Ismail pada majlis tersebut.

Tan Sri Johari Abdul ketika pidato dalam program Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Sebaik habis majlis, beliau pusing ke belakang dan menegur saya. Beliau bertanyakan khabar Anwar dan minta saya sampaikan pesanan kepada Anwar supaya teruskan perjuangan mulianya.

“Malam ini saya sampaikan bahawa Asy-Syahid (Ismail) minta Anwar pimpin kita dan teruskan berjuang untuk anak-anak Palestin,” katanya sebak di hadapan lebih 15,000 hadirin.

Beliau antara lima pemimpin utama yang diberi kesempatan menyampaikan pidato pada Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Johari mewakili negara bagi menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, yang turut dihadiri Allahyarham Ismail dan pemimpin negara lain.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata krisis Palestin tidak hanya berkait dengan agama Islam semata-mata, ia turut meliputi isu sejagat dan kemanusiaan.

Malah katanya, kemerdekaan yang dikecapi negara dirasakan bagai tidak lengkap sekiranya Palestin masih tidak memperoleh kemerdekaan selepas penjajahan selama 76 tahun.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim ketika pidato dalam program Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Saya berpegang kepada kata-kata Nelson Mandela, iaitu ‘our freedom is incomplete without the freedom of Palestine’. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa kemerdekaan negara kita tidak lengkap selagi Palestin tidak merdeka,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam pidatonya berharap Anwar meneruskan usaha sedaya upaya membantu perjuangan rakyat Palestin menentang penjajahan Israel.

Menurutnya, negara Islam perlu terus bersatu padu dan tidak boleh berharap kepada negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk menyelesaikan krisis di Palestin.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika pidato dalam program Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Israel tidak pernah menghormati keputusan undang-undang dunia. Penganjur sukan Olimpik tidak benarkan penyertaan Rusia, tetapi mereka beri izin kepada penjenayah perang, Israel.

“Jangan mengharap sisik pada ikan keli. Jangan harap negara besar mahu selesaikan isu ini. Merekalah yang bertanggungjawab tubuhkan Israel,” katanya.

Himpunan Pembebasan Palestin diadakan bagi mengecam pembunuhan Ismail yang didalangi rejim Zionis di ibu negara Iran pada Rabu lalu.

Program itu turut diserikan dengan persembahan anak-anak Palestin, kumpulan Rabbani, Faizal Tahir selain tayangan video belasungkawa Ismail Haniyeh dan diakhiri dengan bacaan doa Qunut Nazilah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpidato ketika Himpunan Pembebasan Palestin di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil pada 4 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
Orang ramai dalam program Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
Orang ramai menunaikan solat Maghrib diimamkan warga Palestin dalam program Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
Peserta Himpunan Pembebasan Palestin di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil pada 4 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

 

 


Pengarang :